Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad

KUALA LUMPUR – Tiada rakyat Malaysia berada dalam kapal persiaran antarabangsa, Hondius iaitu lokasi penularan jangkitan hantavirus.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, bagaimanapun Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus memantau rapi perkembangan wabak itu di peringkat global  serta serantau bagi memastikan kesiapsiagaan sempadan dan sistem kesihatan negara berada pada tahap tertinggi.

“Mutakhir ini, KKM mengambil maklum mengenai laporan penularan jangkitan hantavirus yang berpunca daripada sebuah kapal persiaran antarabangsa.

“Saya ingin memberi jaminan kepada masyarakat bahawa tiada rakyat Malaysia yang berada di dalam kapal persiaran tersebut,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut beliau, dua kru kapal warganegara Singapura yang telah diuji turut disahkan negatif hantavirus.

Dalam masa yang sama katanya, proses pengesanan kontak kini sedang giat dijalankan.

Hantavirus adalah sejenis virus bawaan tikus yang merebak kepada manusia melalui udara yang tercemar dengan sisa kotoran, air kencing atau air liur haiwan tersebut.

Dzulkefly berkata, jangkitan tersebut tidak wajar dipandang remeh kerana komplikasinya berpotensi membawa maut, dengan kadar kematian bagi sindrom paru-paru hantavirus (HPS) boleh mencecah 30 hingga 40 peratus.

Mengulas lanjut katanya, memandangkan sehingga kini tiada ubat antivirus khusus, justeru langkah pencegahan dan kawalan kendiri adalah perisai pertahanan buat masa ini.

Tambah Dzulkefly, orang ramai tidak perlu panik dengan perkembangan tersebut namun dalam masa yang sama perlu kekal berwaspada.

“Saya menggesa seluruh masyarakat untuk merujuk siri infografik yang disertakan dan sentiasa memastikan kebersihan kediaman serta premis kerja terpelihara daripada ancaman haiwan perosak,” katanya lagi.

Sebagai rekod, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran lebih banyak kes hantavirus mungkin muncul selepas penyakit itu meragut nyawa tiga penumpang sebuah kapal persiaran, namun menjangkakan wabak itu kekal terhad jika langkah berjaga-jaga diambil.

Dilaporkan, seorang lagi penumpang yang sakit dari MV Hondius tiba di Eropah awal hari ini, ketika kapal itu menuju ke Kepulauan Canary, Sepanyol.

Kapal itu dijadualkan tiba pada Ahad dan semua yang berada di atasnya akan dipindahkan.

Difahamkan terdapat 149 orang di atas kapal termasuk 88 penumpang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast