MELAKA – Seorang lelaki Kemboja dijatuhi hukuman denda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini, selepas mengaku bersalah mencuri isi pokok gaharu di Hutan Simpan Taman Botanikal Ayer Keroh, Isnin lalu.

Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin menjatuhi hukuman itu terhadap tertuduh, Mohd. Ali Sulaiman, 40, yang mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, dia bersama-sama seorang yang masih bebas didapati telah melakukan kesalahan mencuri kepingan isi pokok gaharu milik Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya di dalam Hutan Simpan Taman Botanikal Ayer Keroh, kira-kira jam 1 pagi, 4 Mei lalu.

Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 397 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen dan akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Alia Safri memohon hukuman berat kerana kesalahan itu serius membabitkan pencerobohan harta dan kecurian kepingan isi pokok gaharu bernilai komersial tinggi.

Perbuatan tertuduh yang bermotif keuntungan tidak sah juga menyebabkan kerugian kepada kerajaan negeri serta menjejaskan tarikan awam di Taman Botani.

Peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Amritpal Singh dalam rayuannya memohon hukuman denda rendah dikenakan memandangkan tertuduh hanya bekerja sebagai nelayan dan menanggung dua anak.

Mahkamah kemudian menjatuh hukuman denda RM3,500 atau tujuh bulan penjara jika gagal bayar manakala barang kes diserahkan semula kepada pihak pendakwaan. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast