MAKKAH – Nik Fatin Farahahim Nik Azri cukup bertuah kerana rayuan kali pertama untuk bersama-sama suami serta bapa dan ibu mentuanya mengerjakan haji pada tahun ini diluluskan.
Guru SK Pekan Beluran ini berkata, dia baru sahaja mendaftar haji selepas berkahwin dengan suaminya, Muhammd Amirul Hakim Azmi, 25, lebih setahun lalu.
“Suami baru daftar haji untuk saya selepas kahwin. Apabila suami dan mentua dapat tawaran haji, saya buat rayuan untuk ikut suami. Alhamdulillah rezeki kahwin, mak mertua sponsor (taja) semua,” katanya yang ditemui pada majlis pelantikan Sahabat Maktab Musim Haji 1447H.
Namun, di sebalik rasa gembira dapat menjejakkan kaki di Tanah Suci, wanita muda ini berasa sedih kerana kedua ibu bapanya masih belum mendapat peluang menjadi tetamu Allah SWT.
“Saya beritahu mak dan dia menangis. Dia sebenarnya gembira untuk saya,” ujarnya sebak sambil menambah emaknya adalah pesakit kanser dan bapanya pula mengalami masalah jantung.
Dia yang sudah dua tahun mengajar di Sabah berkata, ibu dan bapanya dijaga oleh tiga lagi adik-beradiknya di Kelantan.
Meskipun perasaannya bercampur baur itu, Nik Fatin Farahahim berkata, dia bersyukur dapat bersama dengan suaminya memandangkan mereka adalah pasangan jarak jauh.
“Suami mengajar di SK Terusan Sugut, walaupun daerah sama tapi dia jauh di pedalaman, dua jam lebih naik bot ke sana.
“Di sini macam honeymoon (berbulan madu), lagipun mak dan ayah mentua selalu dengan kawan-kawan dia. Jadi kami selalu berdua solat, beriktikaf di masjid,” katanya penuh girang.
Mengulas pelantikan sebagai Sahabat Maktab, pasangan guru agama ini gembira menjadi sukarelawan Lembaga Tabung Haji.
Muhammad Amirul berkata, sebagai orang muda dia mahu membantu warga emas dan jemaah yang memerlukan bantuan mereka dalam urusan mereka di sini.
“Sebelum ini pun, kami kerap membantu warga emas yang sesat di Masjidil Haram untuk pulang ke maktab. Pada saya ini adalah sumbangan kecil saya ketika usia muda,” katanya. – MalaysiaGazette
















