KUALA LUMPUR – Gerakan Guaman Rakyat (Gegar) menuntut enam undang-undang baharu yang lebih konkrit digubal bagi memastikan pemisahan peranan Peguam Negara (AG) dan Pendakwa Raya (PP) dilaksanakan secara berkesan dan penuh akauntibiliti.
Sekretariatnya menyatakan, pemisahan jawatan sahaja tidak mencukupi kerana tanpa penguatkuasaan undang-undang, pengasingan kuasa hanya melibatkan pertukaran nama pada papan tanda pejabat.
Meskipun menyokong pemisahan itu dilaksanakan, Gegar menuntut pembaharuan yang benar-benar boleh dipegang oleh rakyat dan dituntut semula jika dilanggar.
“Pemisahan yang hanya bersifat struktural tanpa mekanisme pengawasan dan akauntabiliti yang jelas, adalah kosong dan tidak bermakna,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Gegar menggariskan enam undang-undang tersebut iaitu:
1. Akta Suruhanjaya Pendakwaan Bebas ditubuhkan berdasarkan model Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Ia badan bebas yang mengawasi perlantikan, pemecatan dan prestasi PP. Ahli Suruhanjaya dilantik dengan persetujuan dua pertiga Parlimen, bukan atas budi bicara Perdana Menteri.
2. Pindaan Kanun Tatacara Jenayah yang memberikan hak kepada mangsa atau pengadu jenayah serius (pembunuhan, rogol, rasuah berpofil tinggi). Mereka berhak memohon semakan kehakiman apabila pendakwaan diputuskan ‘NFA/NTL’. Mahkamah diberi kuasa meminta justifikasi bertulis daripada PP.
3. Akta Polisi Pendakwaan Awam yang mana PP diwajibkan menerbitkan ‘Garis Panduan Polisi Pendakwaan’ yang menjelaskan kriteria mendakwa atau tidak mendakwa. Polisi itu perlu diluluskan Parlimen dan dikemaskini setiap tiga tahun. Standard tersebut sudah lama dilaksanakan di United Kingdom (UK), Australia dan Kanada.
4. Pindaan Perlembagaan iaitu PP dilantik untuk penggal tetap tujuh tahun, tidak boleh dilanjutkan dan tidak boleh dipecat
kecuali melalui tribunal bebas, sama seperti mekanisme pemecatan hakim. PP tidak harus bergantung kepada siapa yang berkuasa.
5. Jawatankuasa Pilihan Tetap Parlimen ditubuhkan bagi mengawasi pendakwaan awam. PP wajib membentangkan Laporan Tahunan kepada Parlimen dan boleh dipanggil menjawab
soalan secara terbuka.
6. Akta Ketelusan Keputusan Pendakwaan iaitu sebarang keputusan NFA bagi kes melibatkan pegawai awam, ahli politik atau individu berpengaruh WAJIB didedahkan kepada awam dalam tempoh 30 hari, berserta ringkasan sebab penolakan pendakwaan.
Sehubungan itu, Gegar menyarankan Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Rakyat dan Kementerian Undang-Undang supaya meneliti dan memasukkan cadangan-cadangan tersebut ke dalam draf akhir RUU sebelum bacaan kali ketiga.
Katanya, Jawatankuasa Pilihan Khas sedang menyasarkan untuk memuktamadkan RUU sebelum mesyuarat terakhir pada 18 Mei ini dan cadangan Gegar wajar dimasukkan segera. – MalaysiaGazette
















