KUALA LUMPUR – Penganjuran Quranic Madani di lokasi tarikan pelancong di Bukit Bintang di sini hanyalah semata-mata untuk memperkukuh perpaduan serta menyemai mesej kasih sayang dalam kalangan rakyat Malaysia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Zulkifli Hasan berkata, program tersebut membawa mesej keamanan, perpaduan dan silaturahim yang mampu merapatkan hubungan antara masyarakat berbilang kaum dan latar belakang di negara ini.
“Quranic Madani mendapat sambutan amat menggalakkan apabila rakyat dari pelbagai negeri termasuk Pahang, Kelantan dan Terengganu hadir memeriahkan program berkenaan.
“Pada hari ini, kita melihat pelbagai lapisan masyarakat hadir dari seluruh Malaysia. Saya juga berjumpa kanak-kanak dan golongan dewasa.
“Ini menunjukkan rakyat Malaysia sememangnya mahukan perpaduan dan rakyat Malaysia adalah masyarakat yang cintakan keharmonian,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Quranic Madani di Bukit Bintang malam ini.
Zulkifli berkata, kerajaan tidak menolak kemungkinan untuk meneruskan program berkenaan dengan skala lebih besar pada masa akan datang bagi memastikan mesej Quranic Madani dapat disebarkan secara lebih meluas.
Ketika ditanya mengenai cabaran penganjuran program susulan isu festival muzik yang pernah diadakan di lokasi sama sebelum ini, beliau enggan mengulas lanjut.
“Tak apa, saya tak mahu komen mengenai perkara itu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















