JOHOR BAHRU – Parti Pejuang Tanah Air Pejuang (Pejuang) Johor mencadangkan kerajaan melaksanakan reformasi menyeluruh terhadap sistem housemanship dan penempatan doktor.
Timbalan Ketua Pejuang Johor, Zainuddin Adan berkata, langkah itu perlu dibuat berdasarkan keperluan sebenar negeri dan hospital, bukan hanya tertumpu kepada pusat latihan utama di bandar besar.
“Kerajaan juga perlu menyediakan insentif khas seperti elaun tambahan, skim perumahan dan sokongan keluarga kepada doktor yang ditempatkan di kawasan kritikal dan luar bandar.
“Dalam masa sama, kerajaan perlu mewujudkan Pelan 10 Tahun Doktor Malaysia dengan sasaran nisbah tiga doktor bagi setiap 1,000 penduduk menjelang tahun 2035,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pelan itu mesti bersifat jangka panjang, telus dan berpandukan data sebenar keperluan kesihatan negara.
Pejuang Johor juga menegaskan bahawa rakyat berhak mengetahui jumlah sebenar peruntukan kerajaan bagi latihan dan penempatan doktor termasuk keberkesanan penggunaan dana tersebut terhadap peningkatan mutu perkhidmatan kesihatan negara.
Pejuang Johor berpandangan bahawa menyerap 850 graduan perubatan Newcastle University Medicine Malaysia (NUMed) hanya langkah awal.
Jelasnya, masalah sebenar hospital awam ialah kekurangan doktor, beban kerja melampau, penempatan yang tidak seimbang, pemotongan bajet kesihatan, serta kegagalan sistem insurans swasta yang menolak rakyat kembali ke hospital awam.
Katanya, tanpa reformasi menyeluruh, rakyat akan terus berdepan krisis kesihatan yang semakin serius.
Kerajaan katanya, mesti bertindak segera, telus dan berani demi memastikan setiap rakyat mendapat hak rawatan kesihatan yang berkualiti serta adil.
Pejuang Johor menegaskan bahawa isu kesihatan awam negara tidak boleh diselesaikan hanya dengan pengumuman penyerapan graduan perubatan semata-mata.
Kerajaan perlu melihat realiti sebenar yang sedang dihadapi hospital awam hari ini, khususnya masalah kekurangan doktor, beban kerja melampau serta penempatan tenaga perubatan yang tidak seimbang antara negeri dan kawasan bandar serta luar bandar, katanya.
“Hari ini rakyat terpaksa menunggu antara 8 hingga 12 jam untuk mendapatkan rawatan di jabatan kecemasan hospital besar akibat kekurangan doktor kritikal.
“Keadaan ini bukan sahaja membebankan pesakit dan keluarga, malah memberi tekanan besar kepada sistem kesihatan negara,” ujar beliau.
Dalam masa sama katanya, doktor houseman dan pegawai perubatan terus dibebani waktu kerja yang panjang tanpa rehat mencukupi sehingga menjejaskan kesejahteraan petugas serta kualiti rawatan kepada rakyat.
Pejuang Johor turut memandang serius ketidakseimbangan penempatan doktor di seluruh negara.
Hospital di Sabah, Sarawak, Kelantan serta Johor katanya, masih berdepan kekurangan tenaga perubatan, sedangkan hospital di pusat bandar lebih padat dan mempunyai akses lebih baik.
Ketidakseimbangan itu menurutnya, menyebabkan jurang perkhidmatan kesihatan semakin melebar dan rakyat di negeri tertentu terus terpinggir daripada menerima rawatan berkualiti.
Selain itu ujarnya, kadar attrition dalam kalangan doktor muda semakin membimbangkan apabila ramai memilih untuk berhenti atau berpindah ke sektor swasta akibat tekanan kerja yang tinggi serta kekurangan insentif dan jaminan kerjaya.
“Jika keadaan ini berterusan, negara akan terus kehilangan tenaga mahir yang amat diperlukan dalam sistem kesihatan awam.
“Lebih membimbangkan, pemotongan bajet kepada Kementerian Kesihatan berjumlah RM 3.06 bilion yang diumumkan baru-baru ini akan merumitkan lagi keadaan hospital awam.
“Dengan bajet yang semakin kecil, hospital awam berisiko menjadi war zone di ruang menunggu, di mana pesakit terpaksa menunggu berjam-jam untuk rawatan,” katanya.
Pejuang Johor menegaskan bahawa KKM mesti bekerja keras menyelesaikan masalah tersebut dengan reformasi menyeluruh, bukan sekadar retorik atau pelan jangka pendek yang tidak menyentuh akar masalah.
Zainuddin menambah, satu faktor tambahan yang menyebabkan hospital awam semakin sesak ialah semakin ramai rakyat beralih ke hospital kerajaan kerana premium insurans kesihatan swasta tidak lagi mampu milik walaupun mereka bekerja.
Dakwanya, sistem perlindungan kesihatan swasta gagal berfungsi sebagai penampan kepada hospital awam.
Pejuang Johor berpandangan bahawa insurans kesihatan sepatutnya diserap oleh majikan seperti yang diamalkan di banyak negara lain.
“Dengan cara ini, pekerja tidak terbeban dengan kos insurans yang tinggi dan hospital awam tidak menjadi satu-satunya pilihan rakyat,” katanya.- MalaysiaGazette
















