PETALING JAYA – Keputusan meletakkan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin kembali bertanding di Parlimen Sungai Buloh pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-16 terserah kepada pucuk pimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN).
Penyandang kerusi Parlimen Sungai Buloh, Datuk Seri R Ramanan berkata, persoalan itu perlu dirujuk kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai pemimpin tertinggi parti komponen itu.
“Itu terpulang kepada Pengerusi Barisan Nasional. Kena tanya dia,” katanya kepada media selepas Program Sumbangan Pelajar Cemerlang SPM 2025 Parlimen Sungai Buloh di Dewan Serbaguna Seksyen 7 Kota Damansara di sini, hari ini.
Menteri Sumber Manusia itu diminta mengulas spekulasi yang timbul sekiranya Khairy akan kembali bertanding di Parlimen Sungai Buloh pada PRU-16.
Baru-baru ini, Khairy yang juga bekas menteri Kabinet mengesahkan kehadirannya ke Sungai Buloh selepas kembali kepada UMNO kerana kawasan itu ditandinginya sebelum dipecat parti pada 2023.
“Itu juga serah kepada kepimpinan, kita tidak boleh mendahuluinya. Kita tak tahu. Cuma saya pergi Sungai Buloh sebab itu bahagian terakhir saya sebab saya kena buang (parti) ketika di Sungai Buloh,” katanya bekas Menteri Kesihatan itu.
Khairy pernah menjadi Ahli Parlimen Rembau dari 2008 hingga 2022.
Pada PRU-15, beliau dipindahkan UMNO untuk bertanding di Parlimen Sungai Buloh, namun tewas kepada Ramanan yang juga calon Pakatan Harapan (PH). – MalaysiaGazette















