KUALA LUMPUR – Seorang peniaga burger antara dua lelaki tempatan yang ditahan polis dipercayai terlibat kes curi kabel dalam kejadian berhampiran Taman Bukit Mewah, Kajang pada Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, tangkapan kedua-dua suspek dibuat sekitar 8.15 hingga 10 malam semalam di sekitar Kajang dan Bandar Baru Bangi.
Katanya, ia dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang hasil maklumat awam dan risikan.
“Hasil pemeriksaan mendapati, suspek pertama berusia 29 tahun merupakan peniaga burger dan mempunyai satu rekod jenayah lampau.
“Manakala suspek kedua berumur 43 tahun, penganggur dikesan memiliki 10 rekod jenayah dan empat rekod narkotik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, polis turut merampas sebuah kereta jenis Perodua Axia warna perak yang digunakan semasa kejadian.
Berikutan itu, katanya, kedua-dua suspek kini telah direman sehingga 12 Mei ini bagi membantu siasatan.
“Kita masih lagi mengesan seorang lagi suspek yang masib bebas dan sedang giat dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kajang.
“Kes disiasat dibawah Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” jelasnya.
Terdahulu tular video di media sosial memaparkan beberapa individu dipercayai sedang mencuri kabel di sebuah tamah perumahan di Kajang.
Aksi mereka bagaimanapun dilihat penduduk sekitar sebelum kesemua individu terbabit kemudiannya melarikan diri dari lokasi terbabit menaiki sebuah kereta. – MalaysiaGazette
















