KUALA LUMPUR – Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang membidas keras dakwaan kononnya Pas mempunyai DNA khianat sebaliknya menegaskan unsur pengkhianatan itu sebenarnya lebih dekat dengan UMNO sendiri.
Menerusi kenyataan Minda Presiden hari ini, Abdul Hadi berkata, Pas tetap istiqamah mengajak UMNO kembali kepada perpaduan umat Islam walaupun terus diasak dengan pelbagai serangan politik.
Menurut beliau, tuduhan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa Pas memiliki DNA khianat hanyalah tuduhan tanpa asas, sedangkan UMNO sendiri dibelenggu isu DNAA membabitkan beberapa pemimpinnya selain sanggup bekerjasama dengan DAP dalam kerajaan perpaduan.
“DNAA ialah keputusan mahkamah bilamana seseorang tertuduh dilepaskan daripada pertuduhan buat sementara waktu, namun pihak pendakwaan masih boleh menuduh semula individu tersebut atas tuduhan yang sama pada masa hadapan. Inilah masalah yang diketahui umum ada pada pemimpin UMNO,” katanya.
Untuk rekod, Mahkamah Tinggi menetapkan Khamis ini bagi memutuskan permohonan Ahmad Zahid untuk dilepaskan dan dibebaskan daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi.
Keputusan permohonan Timbalan Perdana Menteri itu akan disampaikan Hakim Nurulhuda Nur’aini Mohamad Nor.
Dalam pada itu, Abdul Hadi menegaskan, Pas tetap berpegang kepada prinsip Islam bahawa seseorang dianggap tidak bersalah selagi tidak dibuktikan secara adil di mahkamah, justeru isu berkaitan pemimpin UMNO tidak pernah menghalang usaha penyatuan Melayu dan Islam.
Beliau turut mengungkit sejarah lama apabila mendakwa Pas pernah bersama UMNO menyokong Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bagi menentang komunis, namun akhirnya pemimpin Pas pula menjadi sasaran apabila UMNO menggunakan akta tersebut terhadap parti itu.
“Rupa-rupanya DNA khianat ini ada pada UMNO, bukan pada Pas. Peristiwa itu tetap diingati oleh Melayu yang tidak lupa. Pas berpegang pada Islam supaya tidak pernah mengkhianati sesiapa dalam semua perjanjian,” katanya lagi.
Abdul Hadi turut menyifatkan UMNO kini semakin tenggelam dalam pengaruh DAP dan Pakatan Harapan sehingga hilang keberanian mempertahankan perjuangan agama, bangsa dan negara.
Malah, katanya, UMNO sanggup terus kekal dalam kerajaan walaupun terpaksa berkompromi dengan pihak yang suatu ketika dahulu menjadi musuh politik utama mereka.
“UMNO jangan jadi penakut berada dalam Kerajaan PH yang melaksanakan undang-undang berkaitan kaum, agama dan institusi diraja (3R) yang nyata meminggirkan Islam. Menjadikan UMDAP laksana tikus kenyang dalam kepuk padi.
“Berlaku kelalaian dalam UMNO setelah lama berkuasa, sehingga leka dan jatuh kerana tidak sedar bersama para pemimpin generasi baharu yang dicipta dalam kelekaan dan kelalaian,” katanya. – MalaysiaGazette
















