KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) sentiasa memantau pelaksanaan projek penggantian paip dan pembangunan infrastruktur bekalan air di Kelantan bagi memastikan perkhidmatan itu kepada pengguna terus dipertingkatkan.
SPAN dalam satu kenyataan berkata, pihaknya mengambil maklum beberapa laporan media berhubung kenyataan Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Kelantan mengenai keperluan penggantian paip serta pembangunan infrastruktur bekalan air di negeri itu.
Menurut SPAN, Pelan Perniagaan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) bagi tempoh 2027 hingga 2031 yang merangkumi cadangan penggantian paip sepanjang 1,035 kilometer baharu sahaja diterima dan kini sedang dalam proses semakan oleh suruhanjaya berkenaan.
“Bagi tempoh terdahulu, sebanyak 278 kilometer paip telah siap diganti, manakala 171.49 kilometer sedang dalam pelaksanaan dan 26 kilometer lagi berada pada peringkat perancangan serta reka bentuk.
“Ini termasuk cadangan tambahan yang akan dinilai berdasarkan keperluan semasa perkhidmatan,” menurut kenyataan itu hari ini.
SPAN menjelaskan, cadangan penggantian paip dan pembangunan infrastruktur bekalan air adalah berdasarkan perancangan serta projek yang dikemukakan oleh operator bekalan air negeri dan bukannya ditetapkan melalui had tahunan tertentu oleh SPAN.
Katanya, setiap cadangan projek akan dinilai secara menyeluruh dengan mengambil kira keperluan projek, impak kepada mutu perkhidmatan, keupayaan kewangan serta kemampuan pembayaran balik operator.
Dalam pada itu, SPAN turut menegaskan suruhanjaya berkenaan berperanan sebagai badan kawal selia industri perkhidmatan air dan bukannya institusi pembiayaan.
“Pembiayaan pembangunan aset infrastruktur bekalan air dilaksanakan melalui Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan tertakluk kepada kedudukan kewangan serta kemampuan pembayaran balik operator,” katanya.
Mengenai lesen operasi pula, SPAN berkata, tempoh lesen sehingga lima tahun boleh diberikan kepada operator yang mencapai tahap prestasi dan kedudukan kewangan memuaskan berdasarkan petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan.
“Bagaimanapun, bagi operator yang masih memerlukan penambahbaikan prestasi, tempoh lesen yang lebih singkat akan diberikan.
“Ia bagi membolehkan pemantauan serta tindakan penambahbaikan dilaksanakan secara lebih rapi,” katanya.
Kata SPAN lagi, pihaknya akan memastikan ketersediaan bekalan air bersih secara mampan dan bertata kelola bagi kemudahan sumber air bersih di negeri Pantai Timur itu.
“SPAN konsisten dan terus memacu agenda transformasi industri perkhidmatan air menerusi pengawalseliaan menyeluruh meliputi aspek ekonomi, teknikal, operasi dan pengguna,” katanya kenyataan itu lagi. – MalaysiaGazette
















