Pelajar didedahkan dengan aktiviti keusahawanan dengan menjual sendiri produk mereka.

KUALA TERENGGANU – Mahasiswa Tahun 3 Program Sarjana Muda Sains Akuakultur, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) membuktikan bahawa bidang akuakultur bukan sekadar berkisar tentang ternakan ikan, malah mampu menjadi platform melahirkan usahawan muda berdaya saing melalui pengalaman perniagaan sebenar.

Bermula 1 Mei lalu, sekumpulan mahasiswa daripada Fakulti Sains Perikanan dan Akuakultur mula menjalankan aktiviti keusahawanan di program Carboot Sale berhampiran UMT setiap hari Jumaat sebagai sebahagian daripada aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) bagi kursus Teknik Pengeluaran Akuakultur.

Menerusi kursus tersebut, pelajar diberi peluang menguruskan projek akuakultur secara menyeluruh bermula daripada proses ternakan, penjagaan hasil, pembangunan produk, pemasaran hinggalah kepada jualan terus kepada pelanggan.

Sebanyak enam syarikat pelajar yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) terlibat dalam program itu dengan pelbagai projek termasuk ternakan tilapia air masin, ikan patin, keli, siakap, udang putih, udang galah serta ikan hiasan seperti guppy dan betta.

Pelajar sedang memeriksa dan mengred ikan tilapia air masin yang diternak.

Selain menjual hasil ternakan segar yang diproses secara bersih dan kemas, pelajar turut menghasilkan produk nilai tambah berasaskan hasil ternakan sendiri seperti tilapia salai, nugget ikan siakap, siu mai udang dan lauk-pauk seperti keli sambal hijau.

Akuarium dan makanan ikan hiasan turut dipasarkan bagi memenuhi permintaan pelanggan.

Bagi memastikan operasi perniagaan memenuhi piawaian industri makanan, pelajar yang terlibat dalam penyediaan produk makanan turut mendapatkan suntikan tifoid serta menghadiri Kursus Pengendalian Makanan.

Pensyarah kursus, Ts. Dr. Lokman Nor Hakim Norazmi berkata, pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman itu membantu pelajar menghubungkan ilmu sains, teknikal dan pengurusan perniagaan dalam bidang akuakultur.

“Pelajar bukan sahaja menternak, malah mengurus kualiti ternakan, kos operasi, pembangunan produk, pemasaran dan jualan.

Pengalaman ini memberi nilai tambah kepada pelajar selain membina keyakinan dan memupuk semangat keusahawanan,” katanya.

Sementara itu, pelajar syarikat MizuFin, Nur Nadia Nazreen Mat Zaki berkata kursus tersebut memberi pengalaman baharu yang membantu meningkatkan keyakinan diri terutama dalam urusan komunikasi dengan pelanggan.

“Pada mulanya saya kurang selesa berkomunikasi untuk urusan jual beli, tetapi apabila melakukannya sendiri, saya dapati ia menyeronokkan dan membuatkan saya lebih yakin,” katanya.

Ahmad Rusyaidi sedang menyalai ikan tilapia hasil ternakan syarikat beliau dan rakan rakan.

Bagi Ahmad Rusyaidi Che Ayob daripada syarikat pelajar Everblue Enterprise yang mengusahakan ternakan tilapia air masin serta produk Tilapia Salai, pengalaman itu turut mengajar kepentingan kerja berpasukan dalam memastikan operasi perniagaan berjalan lancar dan sistematik.

Menurutnya, setiap ahli pasukan memainkan peranan penting dalam meningkatkan produktiviti dan memastikan perniagaan dapat diurus dengan lebih teratur.

Selain jualan secara fizikal, syarikat pelajar turut menerima tempahan melalui media sosial masing-masing sekali gus memberi pendedahan kepada mahasiswa mengenai pemasaran digital dan strategi membina hubungan dengan pelanggan.

Pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman itu dilihat mampu melahirkan graduan akuakultur yang bukan sahaja mahir dalam aspek teknikal, malah lebih kreatif, yakin dan bersedia menghadapi cabaran industri agromakanan negara.

 

Disediakan oleh:

Rozita Alias@Abdul Latiff

Penolong Pendaftar

Fakulti Sains Perikanan dan Akuakultur

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast