MEXICO – Kerajaan Mexico membatalkan rancangan untuk memendekkan tahun persekolahan menjelang Piala Dunia selepas menerima bantahan meluas daripada ibu bapa, badan pemikir dan pihak berkuasa tempatan, kata satu sumber kerajaan kepada AFP pada Isnin.
Pada Jumaat lalu, Setiausaha Pendidikan Mario Delgado secara mengejut mengumumkan bahawa tahun persekolahan akan berakhir kira-kira 40 hari lebih awal, iaitu pada 5 Jun, dengan alasan keputusan itu turut dibuat berikutan gelombang haba.
Namun, Presiden Claudia Sheinbaum berkata pada Isnin bahawa pegawai pendidikan dan kerajaan lain akan mengadakan pertemuan untuk mendapatkan pandangan ibu bapa serta mempertimbangkan pilihan yang ada.
Tahun akademik Mexico akan berakhir mengikut jadual asal pada 15 Julai, diikuti cuti selama enam minggu sehingga 31 Ogos.
Kejohanan Piala Dunia yang dianjurkan bersama oleh Mexico, Amerika Syarikat (AS) dan Kanada akan bermula pada 11 Jun apabila Mexico menentang Afrika Selatan di gelanggang sendiri di Mexico City.
“Ideanya adalah untuk mengekalkan tempoh cuti kepada enam minggu seperti biasa dan mungkin sebahagian pelajar akan memulakan sesi lebih awal, manakala yang lain meneruskan jadual sedia ada,” kata Sheinbaum sebelum ini.
“Matlamatnya adalah supaya ia menjadi keputusan secara konsensus. Sekarang kita perlu mendengar pandangan semua pihak,” katanya.
Setakat ini, dua negeri telah menolak rancangan tersebut.
Sekolah di negeri Jalisco hanya akan menggantung kelas selama empat hari ketika Guadalajara, ibu negeri itu menjadi tuan rumah perlawanan Piala Dunia.
Gabenor negeri Nuevo Leon iaitu lokasi bandar Monterrey yang akan menjadi tuan rumah empat perlawanan berkata, sekolah di negeri itu akan mengekalkan kalendar asal.
Ibu bapa turut mempersoalkan langkah tersebut yang menurut badan pemikir Mexico, Evalua akan menyebabkan pelajar ketinggalan dalam pelajaran mereka.
“Keputusan itu… akan terus mengurangkan masa pembelajaran berkesan bagi 23.4 juta pelajar,” kata Mexico Evalua dalam satu laporan.
Sheinbaum turut memberi jaminan mengenai “keadaan keselamatan” yang diperlukan bagi kejohanan itu selain memastikan projek kerja awam yang dimulakan sebelum kejohanan disiapkan, khususnya penambahan di Stadium Azteca dan Lapangan Terbang Antarabangsa Mexico City. – MalaysiaGazette
















