KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga asing maut manakala 11 lagi berjaya diselamatkan dalam kebakaran melibatkan sebuah rumah kedai tiga tingkat di Jalan Tun H S Lee, di ibu negara, awal pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian NG999 pukul 2.13 pagi sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Hang Tuah bersama bantuan BBP Titiwangsa, Pudu, Sentul dan Sri Hartamas digerakkan ke lokasi kejadian.
Katanya, operasi membabitkan kekuatan 45 anggota pelbagai pangkat dengan bantuan dua jentera Fire Rescue Tender (FRT), dua Light Fire Rescue Tender (LFRT), dua Water Tanker, tiga Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dan dua Rapid Intervention Motorcycle (RIM).
Komander Operasi, Penguasa Bomba I, Azrul Khairi Abu Bakar berkata, pasukan bomba tiba di lokasi pada puku 2.25 pagi dan mendapati kebakaran melibatkan rumah kedai tiga tingkat.
Menurut beliau, seramai 12 mangsa warga asing terlibat dalam kejadian itu terdiri daripada 10 lelaki dan dua wanita.
“Seorang mangsa lelaki disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), manakala 11 mangsa lain berjaya diselamatkan dan dihantar ke hospital untuk menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, anggota bomba berjaya menyelamatkan empat lelaki dewasa di tingkat dua, selain dua lelaki dan seorang wanita yang berada di bahagian bumbung bangunan menggunakan tangga.
Kebakaran melibatkan tingkat bawah dan tingkat satu premis dengan keluasan kira-kira 15 x 70 kaki persegi dan dianggarkan 50 peratus musnah.
Api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada pukul 5.10 pagi.
Punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak berkuasa. – MalaysiaGazette
















