JOHOR BAHRU – Kerajaan perlu segera merangka strategi promosi bersepadu melibatkan Johor dan Pahang dalam usaha memperkukuh jenama Pulau Tioman susulan isu kemerosotan pengunjungnya.
Ketua Pejuanita Muda Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor, Nurfatimah Ibrahim berkata, langkah seperti penambahbaikan akses pengangkutan, pengurangan beban kos perjalanan serta diversifikasi produk pelancongan perlu dilaksanakan secara menyeluruh.
Jelasnya, ini bagi memastikan Pulau Tioman mampu bersaing dengan destinasi terkenal serantau.

“Pejuang Johor memandang serius isu kemerosotan sektor pelancongan di Pulau Tioman yang dilihat semakin terpinggir daripada agenda pelancongan utama negara, walaupun pulau ini mempunyai potensi besar sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa.
“Persoalan utama yang timbul ialah mengapa pelbagai pihak hanya memberi tumpuan kepada destinasi seperti Langkawi dan Phuket sedangkan Malaysia turut memiliki khazanah semula jadi bernilai tinggi seperti Pulau Tioman yang mampu menjana limpahan ekonomi kepada Johor dan Pahang.
“Hakikatnya, jumlah pelancong ke Pulau Tioman masih jauh ketinggalan. Tioman dianggarkan menerima kurang daripada 500,000 pelawat setahun berbanding Langkawi yang mencatat sekitar 3.2 juta pelawat setahun, manakala Phuket pula menerima lebih 13 juta pelawat setiap tahun,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, jurang itu menunjukkan bahawa promosi dan pembangunan Pulau Tioman masih belum diberi perhatian sewajarnya di peringkat nasional.
Pejuang Johor turut mengambil maklum rungutan pengusaha resort dan pemain industri pelancongan tempatan berhubung pengenalan surcaj bahan api feri sejak April lalu yang menyebabkan kos perjalanan semakin meningkat.
Katanya, beban tambahan itu memberi kesan besar kepada keluarga dan kumpulan pelancong sehingga ramai memilih destinasi lain yang lebih mudah dan murah untuk dikunjungi.
Dalam masa sama katanya, titah Sultan Pahang yang menegaskan bahawa Pulau Tioman perlu dijadikan agenda pembangunan utama negeri wajar diberi perhatian serius oleh Kerajaan Persekutuan dan Kementerian Pelancongan.
Pulau Tioman katanya, tidak boleh terus dianggap sebagai kawasan terpencil yang dipinggirkan daripada arus pembangunan pelancongan negara.
Johor sendiri ujarnya, menerima manfaat ekonomi besar sebagai pintu masuk utama ke Pulau Tioman melalui Mersing.
Menurutnya, aktiviti hotel, restoran, pengangkutan dan sektor perkhidmatan di Mersing dianggarkan menjana pendapatan RM70 juta hingga RM80 juta setahun hasil daripada pergerakan pelancong ke Tioman.
Tambahnya, Pahang pula menikmati manfaat langsung melalui resort, chalet, aktiviti menyelam serta cukai pelancongan dengan anggaran nilai ekonomi sekitar RM200 juta hingga RM250 juta setahun.
Namun begitu katanya, Pulau Tioman masih berdepan beberapa cabaran utama seperti akses terhad kerana bergantung kepada feri, peningkatan kos perjalanan akibat surcaj bahan api, promosi antarabangsa yang lemah serta kemudahan pelancongan masih kecil berbanding destinasi pesaing.
“Keadaan ini menyebabkan Pulau Tioman hanya tertumpu kepada segmen tertentu seperti penyelam dan ekopelancong, sedangkan potensinya jauh lebih besar,” katanya.- MalaysiaGazette
















