AMPANG – Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menggesa penyedia platform perkhidmatan gig yang masih belum menyerahkan maklumat pekerja supaya segera berbuat demikian bagi memastikan kebajikan golongan terbabit terus dilindungi di bawah Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872).
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, setakat ini hanya tujuh daripada 14 platform utama di negara ini tampil bekerjasama dalam proses integrasi data pekerja dan pelaksanaan caruman automatik 1.25 peratus.
Katanya, kerjasama itu penting bagi membolehkan PERKESO merekodkan maklumat pekerja gig serta mempercepat proses bantuan sekiranya berlaku kemalangan atau kematian ketika bekerja.
“Kalau kita tak ada data, kita tak tahu siapa sebenarnya pekerja gig ini dan sukar untuk kita proses bantuan apabila berlaku kemalangan atau kematian.
“Dengan integrasi sistem ini juga, caruman boleh terus ditolak secara automatik daripada bayaran tugasan mereka,” katanya ketika Program Ziarah Prihatin Ke Rumah Orang Berinsurans di kediaman pemandu e-hailing, Jailani Sapiih, di Pangsapuri Desa Lembah Permai, Lembah Jaya Utara, di sini hari ini.

Menurut beliau, tujuh platform yang sudah memberikan kerjasama ialah AirAsia Ride Sdn Bhd, Kiddocare, Eternal Meteor Sdn Bhd (GoGet), ShopeeFood Malaysia, Troopers Innovation Sdn Bhd, Fastgig Sdn Bhd dan Delivery Hero Malaysia (Foodpanda) Sdn Bhd.
Tambah beliau, platform Fastgig Sdn Bhd setakat ini melengkapkan keseluruhan proses termasuk integrasi data dan pelaksanaan caruman automatik.
“Fastgig bukan sahaja beri maklumat, tetapi terus melaksanakan integrasi sistem dan memulakan caruman automatik untuk pekerja mereka.
“Kalau Fastgig boleh laksanakan, saya tidak nampak kenapa platform lain masih belum bersedia,” tegasnya.
Mohammed Azman berkata, Akta Gig yang mula berkuat kuasa pada 31 Mac lalu sepatutnya dilaksanakan segera demi kebajikan pekerja gig yang berdepan risiko setiap hari ketika mencari rezeki.
“Patutnya bila akta dilaksanakan, rekod pekerja terus ada dengan kita. Tapi sekarang sudah lebih sebulan masih ada platform belum beri maklumat,” katanya.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan identiti tujuh lagi penyedia platform yang masih belum menyerahkan data pekerja kepada PERKESO.
Dalam perkembangan sama, Mohammed Azman berkata, Jailani yang terbabit dalam kemalangan di Lebuhraya MEX pada 23 April lalu sehingga mengorbankan seorang penumpang warga Bangladesh tetap menerima perlindungan PERKESO di bawah Akta 872.
Katanya, walaupun status caruman LINDUNG Kendiri Jailani telah tamat sebelum kejadian, PERKESO mengambil inisiatif sendiri meneliti rekod mangsa selepas dimaklumkan beliau sedang menjalankan aktiviti e-hailing ketika insiden berlaku.
“Skuad Prihatin PERKESO memang akan turun padang bagi setiap kes kemalangan atau kematian yang melibatkan pencarum dan pekerja gig.
“Dalam kes ini, kita proses Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS) berdasarkan cuti sakit selama 41 hari bermula 23 April hingga 2 Jun depan dengan jumlah RM1,230,” katanya.
Menurutnya, PERKESO turut menyalurkan bantuan peralatan pemulihan termasuk kerusi roda melalui Skim LINDUNG Kendiri bagi membantu proses pemulihan Jailani yang mengalami kecederaan di kepala, dada dan kaki kiri.
Sementara itu, Jailani berkata, bantuan diterima daripada PERKESO sedikit sebanyak membantu meringankan beban sepanjang tempoh cuti sakitnya.
“Tak ada siapa minta kemalangan berlaku, tapi sekurang-kurangnya bila ada perlindungan macam ini, kita rasa lebih terbela. Mungkin selepas jumpa doktor, saya akan kembali kerja e-hailing. Sudah lebih tiga minggu tidak kerja,” ujarnya. -MalaysiaGazette
















