KLUANG – Dana perolehan aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak lagi dibekukan susulan langkah penstrukturan yang dilaksanakan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menjelaskan, langkah penstrukturan berkenaan bertujuan memastikan tiada isu ketirisan atau kebocoran dana berlaku.
“Tidak ada lagi pembekuan kerana kita telah lakukan penstrukturan-penstrukuran yang boleh memastikan, tiada ketirisan, kebocoran dan sebagainya.
“Maka sekarang ini semua perolehan balik kepada keadaan biasa,” katanya mengulas mengenai status terkini pembekuan dana perolehan ATM.
Beliau berkata demikan dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Program Ekonomi MADANI Angkatan Tentera Malaysia (PEM ATM) di Batalion Kelima Rejimen Askar Melayu Diraja (5 RAMD), Kem Batu 3, di sini hari ini.
Pada 16 Januari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan semua keputusan perolehan ATM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terkait dengan isu rasuah dibekukan sementara sehingga proses perolehan dipatuhi sepenuhnya.
Pembekuan tersebut susulan kontroversi yang melanda ATM berkaitan isu rasuah serta salah guna kuasa membabitkan beberapa bekas pimpinan tertinggi ATM
Mengulas lanjut mengenai sama ada kementeriannya melaksanakan penilaian terhadap sebarang perolehan susulan krisis bekalan global, Mohamed Khaled berkata, perkara berkenaan merupakan antara aspek yang diambil perhatian kementeriannya
Ujarnya, Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) juga sudah meminta kementeriannya untuk memberikan cadangan berhubung bagaimana aspek pertahanan di negara ini dapat disesuaikan dengan krisis bekalan global dan konflik di Asia Barat.
Justeru kata beliau, kementeriannya melihat bahawa keupayaan dalam membangunkan industri pertahanan tempatan sebagai antara perkara yang perlu dipertingkan dengan mengambil pendekatan ‘asymmetrical warfare’.
“(sebagai contoh), kita wajar mengamalkan pendekatan ‘asymmetrical warfare’ iaitu satu keadaan antara dua negara dengan kekuatan ketenteraannya tidak sama, sangat besar jurang, jadi biasanya negara berhadapan dengan itu akan ambil pendekatan ini.
“Pendekatan ini di mana sesebuah negara keluarkan produk tempatan secara banyak dan murah dan mempunyai keupayaan untuk menghubungkan sistem IT dan elektronik,” katanya
Mengenai perkembangan kes anggota tentera cedera parah termasuk retak tengkorak dalam kejadian di Kem Iskandar dekat Mersing, Mohamed Khaled berkata, kertas siasatan sudah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk tindakan lanjut.
Portal ini sebelum ini melaporkan mangsa, Abdul Hamid Talib, 25, yang berasal dari Bum Bum, Semporna, Sabah dan bertugas di Rejimen 22 Komando di kem berkenaan kini tidak mampu bercakap, serta terpaksa bergantung kepada alat bantuan pernafasan.- MalaysiaGazette
Datuk Seri Mohamed Khaled melawat booth dalam Majlis Pelancaran Program Ekonomi MADANI Angkatan Tentera Malaysia (PEM ATM) di Batalion Kelima Rejimen Askar Melayu Diraja (5 RAMD), Kem Batu 3, Kluang hari ini.
















