Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong.

KUALA LUMPUR – Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong melahirkan rasa kecewa dengan reaksi pemimpin UMNO berhubung penubuhan cawangan pertama DAP di Kampung Padang Temu Kini, Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas yang mempunyai majoriti pengundi Melayu.

Menurutnya, kenyataan yang dibuat pemimpin UMNO berkenaan tidak mencerminkan Malaysia yang sedang dibina secara bersama.

Kata beliau, Malaysia sedang bergerak ke arah sebuah masyarakat berbilang kaum dan berbilang agama yang mana semua rakyat boleh hidup dalam harmoni dan bekerjasama untuk membina negara yang lebih baik, tanpa mengganggu struktur Perlembagaan dan perkara-perkara asas.

Ujarnya, penubuhan cawangan DAP di Kampung Padang Temu Kini membuktikan DAP bukan parti untuk satu kaum sahaja, tetapi parti untuk semua rakyat Malaysia.

“Kita percaya bahawa kepimpinan dalam parti perlu dinilai berdasarkan keupayaan untuk menjalankan tanggungjawab kepada rakyat, bukan berdasarkan kaum semata-mata.

“Isu longkang ialah isu Melayu, isu Cina dan isu India. Isu masjid ialah isu Melayu, isu Cina dan isu India. Isu kuil ialah isu Melayu, isu Cina dan isu India. Isu alam sekitar ialah isu Melayu, isu Cina dan isu India.

“Semua ini ialah isu kita sebagai rakyat Malaysia. Kita perlu menjaga antara satu sama lain,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Poay Tiong yang juga Ahli Parlimen Kota Melaka menambah, rakyat tidak memerlukan satu kaum sahaja untuk mewakili kaum tertentu.

Jelasnya, seorang pemimpin Melayu, Cina, India dan Sabah serta Sarawak boleh mewakili semua rakyat.

“Di DAP, perkara paling penting untuk kami ialah sama ada seseorang pemimpin kita dan ahli-ahli kita itu boleh bekerja, turun padang dan menjalankan amanah untuk rakyat. Itu yang paling utama,” katanya.

Terdahulu, UMNO Bahagian Kota Melaka memberi amaran kepada DAP supaya tidak membina persepsi kononnya parti itu kini semakin diterima masyarakat Melayu sehingga cuba dilihat sebagai ‘juara Melayu’.

Ketua UMNO Bahagian Kota Melaka, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, ia susulan kenyataan berhubung penubuhan cawangan DAP pertama di Kampung Padang Temu yang diangkat sebagai satu ‘sejarah besar’ di kawasan majoriti Melayu. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast