KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia berjaya merekodkan lebih RM2.7 bilion kerugian akibat penipuan dalam talian di negara sepanjang tahun 2025 dan lebih 110 lokasi e-waste haram dibongkar menerusi Ops Hazard 3.0 dengan kerjasama agensi berkaitan melibatkan nilai rampasan lebih RM582 juta.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, cabaran ancaman keselamatan moden yang bersifat dinamik serta rentas sempadan menuntut pendekatan lebih menyeluruh melalui kerjasama strategik dan penggunaan teknologi keselamatan terkini.

Justeru katanya, penganjuran PDRM Special Dialogue V 2026 (PSD V 2026) yang menghimpunkan agensi penguatkuasaan, pakar teknologi, pemain industri dan komuniti keselamatan dari dalam serta luar negara menjadi sebuah wacana diskusi ilmiah yang terangkum dalam membanteras jenayah ini.

“Bagi edisi kali ini, PSD V 2026 memberi fokus terhadap pelbagai ancaman keselamatan kontemporari termasuk jenayah siber, penipuan dalam talian, jenayah rentas sempadan, sindiket narkotik, aktiviti e-waste haram dan eksploitasi seksual kanak-kanak secara dalam talian.

“Selain itu, program ini turut menjadi platform penting dalam memperkukuh kesiapsiagaan keselamatan negara menerusi pendekatan kolaboratif dan penerokaan teknologi keselamatan generasi baharu,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, PSD V 2026 diterajui Jabatan Pengurusan PDRM melibatkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) serta Jabatan Logistik dan Teknologi (JLOG).

“Ia turut dilaksanakan dengan kerjasama strategik Alpine Integrated Solution Sdn Bhd yang mencerminkan kerjasama erat antara agensi penguatkuasa dan sektor industri dalam memperkukuh kesiapsiagaan keselamatan negara menerusi penggunaan teknologi keselamatan moden.

Mohd Khalid menambah, penganjuran PSD V 2026 menghimpunkan lebih 3,000 peserta termasuk lebih 200 delegasi VIP serta penglibatan 135 syarikat dari 17 negara menerusi sesi dialog strategik, pembentangan teknikal, bengkel tertutup dan pameran teknologi keselamatan.

Katanya, antara topik utama yang dibincangkan sepanjang program berlangsung termasuk ancaman penipuan digital, social engineering, ancaman siber semasa, cryptoscam, pemerdagangan manusia era digital, keselamatan maritim serta penggunaan kecerdasan buatan dalam pengurusan sempadan.

Mohd Khalid berkata, secara keseluruhannya PSD V 2026 mencerminkan komitmen berterusan PDRM dalam memperkukuh kesiapsiagaan keselamatan negara melalui pendekatan strategik, progresif dan berpaksikan kerjasama pelbagai pihak selaras dengan cabaran keselamatan global yang semakin dinamik serta berteknologi tinggi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast