Zalipah Md Alwi

MAKKAH – Selepas lebih 20 tahun menyimpan impian untuk menunaikan haji, seorang jemaah wanita akhirnya percaya setiap ujian yang dilaluinya sebelum ini adalah aturan terbaik daripada Allah.

Zalipah Md Alwi, 73, yang datang seorang diri ke Tanah Suci berkata, sebaik tiba di Madinah, dia tidak dapat menahan air mata kerana terlalu bersyukur apabila doanya untuk menjadi tetamu Allah pada musim haji kali ini dimakbulkan.

“Saya memang dah lama tunggu. Dari umur 40 tahun lagi saya pasang niat nak datang, tapi selalu rasa macam belum ada rezeki,” katanya ketika ditemui di maktabnya di Hotel Abraj Al Janadriyah.

Menurutnya, dia pernah tertanya-tanya mengapa dirinya masih belum dipanggil ke Tanah Suci walaupun sudah lama menyimpan wang dan memasang impian.

Persoalan itu pernah dikongsi bersama ibunya yang berusia 95 tahun, sebelum meninggal dunia kerana Covid-19.

Seorang petugas Tabung Haji menemani Zalipah Md Alwi membeli makanan di kafe.

Zalipah berkata, ketika itu dia memang menjaga ibunya yang terlantar dan uzur apabila kedua-duanya dijangkiti Covid-19 di hospital.

“Tapi mak cakap mungkin Allah tangguhkan sebab saya kena jaga mak dulu. Mak kata, mak tak boleh saya takda (bersamanya).

“Mak kata, bila mak dah tiada, baru Allah bagi peluang ini,” katanya sebak.

Tambahnya, sebelum diberi rezeki ke Tanah Suci, dia dan suami juga melalui pengalaman pahit apabila menjadi mangsa penipuan pakej umrah sehingga kerugian RM14,000.

Menurutnya, kejadian itu berlaku kerana mereka terlalu mempercayai seorang individu yang menawarkan urusan umrah secara DIY.

“Dia nampak baik, rapat dengan warga emas, ajak makan dan bawa kami ke rumah. Kami percaya sebab dia kata boleh uruskan perjalanan umrah.

“Tapi akhirnya duit kami lesap begitu sahaja,” kongsinya.

Walaupun kecewa, Zalipah memilih untuk tidak menyimpan dendam dan menyerahkan segala-galanya kepada Allah.

“Saya pegang pesan mak, jangan buat jahat pada orang walaupun orang buat kita,” tambah beliau lagi.

Zalipah Md Alwi

Pesara kerajaan ini menambah, pengalaman ditipu itu mengajarnya supaya lebih berhati-hati dan berharap masyarakat tidak mudah percaya kepada tawaran pakej umrah atau haji yang tidak sah.

“Kalau nak pergi umrah atau haji, ikut saluran yang betul. Jangan mudah cair walaupun orang nampak baik,” ujar beliau.

Terharu dan gembira terpilih menjadi jemaah haji pada musim ini, Zalipah berkata, dia sering berdoa supaya Allah mempermudahkan segala urusan dan menjadikan di tetamu ‘VVIP” di Tanah Suci.

“Setiap hari saya doa, ‘Ya Allah jadikan saya tetamu “VVIP-Mu”. Alhamdulillah, saya rasa Allah benar-benar dengar doa saya,” katanya.

Zalipah berkata, meskipun datang tanpa keluarga, dia mendapat rakan-rakan yang menyenangkan dan urusan ibadahnya dipermudahkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast