Gajah Dara, Amoi dan Kelat (DAK) di Zoo Tennoji. Gambar tangkap layar MPT.

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Pilihan Alam Sekitar, Sains dan Perladangan berpendapat satu tinjauan secara fizikal ke Zoo Tennoji Osaka wajar dipertimbangkan bagi melihat sendiri keadaan tiga ekor dari negara ini yang dipindahkan ke sana.

Jawatankuasa itu dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, langkah tersebut amat penting bagi memastikan setiap keputusan yang diambil selepas ini didasari oleh fakta yang tepat serta dapat memberikan keyakinan sepenuhnya kepada rakyat.

Terdahulu, jawatankuasa itu pada Isnin lalu mengadakan mesyuarat berhubung isu terbabit di Parlimen melibatkan seramai 12 Ahli Parlimen.

Mesyuarat itu turut dihadiri oleh delegasi Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) yang diketuai oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Sumber Asli), Datuk Mas Rizal Mohd Hilmi serta delegasi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia yang diketuai Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim.

Mesyuarat itu bertujuan mendapatkan taklimat serta penjelasan daripada NRES dan PERHILITAN berhubung kronologi dan isu-isu berkaitan pemindahan tiga ekor gajah Asia milik Zoo Taiping dan Night Safari iaitu Dara, Amoi dan Kelat (DAK) ke Tennoji Zoo, Osaka, Jepun.

“Jawatankuasa memandang serius berhubung perkara ini yang sedang menjadi perbincangan hangat dan keresahan dalam kalangan masyarakat.

“Dalam sesi ini, pihak NRES dan Jabatan PERHILITAN telah memberikan taklimat mengenai kronologi pemindahan, pematuhan dari aspek perundangan dan isu keselamatan logistik serta fasiliti yang disediakan di Tennoji Zoo, Osaka.

“Selain itu, Jawatankuasa juga turut dimaklumkan mengenai isu kesihatan dan kebajikan DAK.

“Jawatankuasa mengambil maklum terhadap penerangan komprehensif yang telah diberikan oleh pihak NRES dan Jabatan PERHILITAN,” katanya.

Bagaimanapun, tambah kenyataan itu, jawatankuasa tersebut masih memerlukan beberapa maklumat tambahan yang lebih terperinci termasuk meneliti dokumen perjanjian di antara Zoo Taiping dan Night Safari dan Zoo Tennoji Osaka bagi memahami obligasi kedua-dua pihak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast