SEREMBAN – Sekretariat Taat Setia Sokongan DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan mengancam untuk menggerakkan ‘Gelombang Tolak Penderhaka UMNO’ di kesemua 36 Dewan Undangan Negeri (DUN) di Negeri Sembilan.
Pengerusinya, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata, ia sebagai tindak balas kepada penderhakaan UMNO terhadap institusi Diraja Negeri Sembilan yang diketuai pengerusi Badan Perhubungannya, Datuk Jalaluddin Alias.
“Gerakan ini bertujuan memberi pengajaran kepada pemimpin UMNO yang mengheret DYMM Yang di-Pertuan Besar, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir ke kancah politik kepartian.
“Tindakan biadab itu berlaku semasa Konvensyen 80 Tahun UMNO pada 2 Mei lalu dan ia disifatkan sebagai pengkhianatan nyata terhadap Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
“Sekretariat akan menggerakkan Gelombang Tolak Penderhaka UMNO di seluruh 36 DUN. Rakyat akan bangkit mempertahankan prinsip ‘Titah Dijunjung, Daulat Dijulang’,” katanya menerusi satu kenyataan media, semalam.
Shahriman berkata, pihaknya menyeru seluruh anak watan supaya tidak menyokong pemimpin UMNO seluruh Negeri Sembilan dan mengajar mereka apa erti taat setia pada Pilihan Raya Umum dan Pilihan Raya Negeri yang akan datang.
“YB-YB UMNO Negeri Sembilan yang derhaka ini wajib dihukum oleh pengundi-pengundi kawasan masing-masing. Tolak UMNO. Hukum UMNO.
“Benamkan mana-mana calon UMNO Negeri Sembilan yang sanggup menjadi penderhaka kepada DYMM Yang Di-Pertuan Besar Tuanku dan Negeri.
“Ingat, Raja dan rakyat berpisah tiada. Siapa yang khianat pada Raja, dia khianat pada rakyat, pengkhianat tiada tempat di Negeri Sembilan,” tegasnya.
Selain itu, kata Shahriman, gerakan ini bertujuan memastikan pengundi di setiap kawasan sedar akan tindakan wakil rakyat UMNO didakwa tidak lagi memegang sumpah taat setia kepada Raja dan negeri.
“Pengundi wajib menghukum mana-mana calon UMNO yang dianggap derhaka.
“Kegagalan pucuk pimpinan UMNO Negeri Sembilan, termasuk Pengerusinya, Datuk Jalaluddin Alias untuk memohon ampun sehingga kini memburukkan lagi keadaan.
“Raja dan Rakyat Berpisah Tiada, maka sesiapa yang mengkhianati Raja dianggap mengkhianati rakyat,” katanya.
Lebih dikesalkan katanya apabila kepimpinan UMNO Malaysia tidak membuat teguran serius terhadap perbuatan Jalaluddin serta 13 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Negeri Sembilan sebelum ini.
“Sekretariat turut melahirkan kekecewaan terhadap pimpinan UMNO Pusat yang hadir semasa konvensyen tersebut kerana tidak menegur tindakan pimpinan negeri.
“Diam bermakna rela, rela bermakna bersubahat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















