Pengurus Besar Tourism Pahang, Nor Zahira Muhammad Azmi mewakili kerajaan negeri dan Tourism Pahang menerima pengiktirafan "Most Impactful State Tourism Organisation – Malaysia 2025"

KUANTAN – Tourism Pahang sekali lagi mengharumkan nama negeri apabila menerima anugerah “Most Impactful State Tourism Organisation – Malaysia 2025” sempena Asian Tourism & Hospitality Awards 2025–2026 yang berlangsung di Berjaya Times Square Hotel di Kuala Lumpur semalam.

Pengiktirafan itu membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Negeri melalui Tourism Pahang dalam memperkukuh pembangunan industri pelancongan negeri secara holistik, khususnya menerusi pelancongan berasaskan alam semula jadi, kelestarian dan pembangunan produk pelancongan berkualiti tinggi.

Anugerah berprestij tersebut disampaikan pada Majlis Malam Gala sempena MAH Hospitality Week 2026 dan Hospitality Suppliers Expo 2026 yang menghimpunkan pemain industri pelancongan serta hospitaliti dari seluruh rantau Asia.

Pengiktirafan itu diterima Pengurus Besar Tourism Pahang, Nor Zahira Muhammad Azmi yang mewakili Kerajaan Negeri dan Tourism Pahang.

Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, Leong Yu Man berkata, anugerah berkenaan merupakan hasil usaha berterusan kerajaan negeri bersama seluruh pemain industri pelancongan dalam memperkasakan sektor pelancongan secara mampan dan inklusif.

“Anugerah ini menjadi simbol kejayaan bersama seluruh warga industri pelancongan negeri Pahang.

“Kerajaan negeri akan terus memperkukuh agenda pembangunan pelancongan melalui pendekatan strategik yang menitikberatkan aspek kelestarian, pembangunan komuniti serta pengalaman pelancongan berkualiti tinggi selaras dengan aspirasi Visit Malaysia 2026 – Pahang First,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Nor Zahira berkata, pencapaian tersebut menjadi pemangkin kepada Tourism Pahang untuk terus memperhebat promosi serta memperluaskan jaringan kerjasama industri di peringkat domestik dan antarabangsa.

Katanya, penerimaan anugerah itu membuktikan Negeri Pahang memiliki kekuatan produk pelancongan yang lengkap dan berdaya saing.

“Tourism Pahang akan terus komited memperkenalkan lebih banyak produk pelancongan berkualiti, memperkukuh pemasaran digital serta memperluaskan promosi negeri bagi memastikan Pahang kekal sebagai antara destinasi pilihan utama pelancong,” katanya.

Sebagai rekod, Negeri Pahang turut merekodkan pencapaian membanggakan apabila menerima kehadiran seramai 15.28 juta pelancong bagi tempoh Januari hingga Disember 2025 sekali gus melepasi sasaran awal yang ditetapkan kerajaan negeri.

Pencapaian itu mencerminkan keyakinan tinggi pelancong terhadap jenama pelancongan Pahang yang semakin kukuh bukan sahaja sebagai destinasi domestik utama, malah destinasi yang memiliki kekuatan tersendiri dalam segmen alam semula jadi, pulau, tanah tinggi, taman negara, warisan budaya, makanan, sukan rekreasi dan pelancongan komuniti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast