KUALA LUMPUR – Ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.4 peratus pada suku pertama tahun 2026 berbanding suku sama sebanyak 4.4 peratus tahun lalu.
Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, pertumbuhan itu didorong terutamanya oleh permintaan dalam negeri selain perbelanjaan isi rumah kekal disokong oleh keadaan pasaran pekerja yang positif.
Menurut beliau, ia dibantu dengan kadar pengangguran kekal rendah di samping langkah-langkah dasar bersasar.
“Pertumbuhan pelaburan disokong oleh pelaksanaan berterusan projek berbilang tahun oleh sektor swasta dan sektor awam, kadar realisasi yang tinggi bagi pelaburan yang diluluskan serta pelaksanaan berterusan pelan induk nasional.
“Dari segi faktor luaran, pertumbuhan eksport kekal kukuh, didorong terutamanya oleh pengembangan berterusan bagi eksport elektrik dan elektronik (E&E),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media mengumumkan prestasi ekonomi negara pada suku pertama 2026 di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.
Mengulas lanjut, Abdul Rasheed berkata, pertumbuhan import kasar menjadi sederhana berikutan pertumbuhan yang lebih perlahan bagi import barangan modal, barangan perantaraan dan barangan pengguna.
Kata beliau, dari segi penawaran, pertumbuhan sektor perkhidmatan menjadi sederhana, mencerminkan penurunan dalam jualan kenderaan bermotor berikutan pembelian yang dilakukan lebih awal pada suku keempat sebelum tamatnya tempoh pengecualian duti import bagi kenderaan elektrik.
“Sementara itu, prestasi sektor perkilangan kekal disokong oleh prestasi E&E yang lebih kukuh,
selaras dengan permintaan berterusan bagi komponen berkaitan kecerdasan buatan dan pusat data.
“Pertumbuhan sektor pertanian lebih rendah berikutan pengeluaran minyak sawit yang kembali normal selepas paras pengeluaran yang tinggi sebelum ini serta aktiviti penanaman semula yang berterusan.
“Sektor perlombongan dan pengkuarian menguncup, disebabkan terutamanya oleh pengeluaran minyak dan gas yang lebih rendah,” katanya.
Abdul Rasheed memberitahu, selain itu, pertumbuhan sektor pembinaan kembali normal daripada pertumbuhan dua angka berikutan
penyederhanaan dalam pembinaan kediaman dan aktiviti kejuruteraan awam.
“Pada asas suku tahunan terlaras secara bermusim, ekonomi menguncup sebanyak -0.01 peratus berikutan prestasi yang lebih kukuh pada suku sebelumnya,” katanya.
– MalaysiaGazette
















