KUALA LUMPUR – Ketua Wirawati Parti Putra Malaysia, Nurhafizah Jamaludin mendakwa, kerajaan cuba “memperbodohkan rakyat” apabila meletakkan isu pelajar tahfiz bersama Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dalam satu pengumuman berkaitan kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).
Menurut beliau, tindakan itu bukan kebetulan sebaliknya, helah politik untuk membuka ruang kepada lepasan UEC memasuki IPTA secara senyap tanpa mendapat tentangan rakyat.
Beliau berkata, pelajar tahfiz tidak memerlukan “tiket simpati” kerana laluan ke IPTA menerusi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sudah lama wujud, manakala isu sebenar adalah pemberian ruang kepada lepasan UEC walaupun sistem itu berada di luar pendidikan kebangsaan.
“Masuk ke IPTA walau atas apa nama sekali pun adalah satu bentuk pengiktirafan. Tidak wujud istilah ‘bukan pengiktirafan’ apabila pintu universiti awam sudah dibuka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nurhafizah turut mendakwa, langkah kerajaan itu merupakan strategi berperingkat yang akhirnya akan membuka lebih banyak ruang kepada UEC pada masa hadapan.
“Hari ini hanya program tertentu, esok diperluaskan. Sedikit demi sedikit pagar pendidikan kebangsaan dipecahkan sehingga rakyat sedar semuanya sudah terlambat,” katanya.
Beliau menegaskan, bantahan terhadap UEC bukan melibatkan isu perkauman, sebaliknya berkaitan prinsip dan asas sistem pendidikan negara yang menurutnya perlu mengekalkan Bahasa Melayu, Sejarah dan SPM sebagai syarat utama kemasukan ke IPTA.
Dalam pada itu, beliau turut mengkritik tindakan kerajaan yang didakwa menggunakan institusi tahfiz sebagai “perisai politik” bagi meredakan kemarahan rakyat Melayu terhadap isu tersebut.
“Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tidak boleh lari daripada tanggungjawab kerana keputusan itu dibuat di peringkat Jemaah Menteri dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah ketuanya,” katanya.
Beliau mendakwa, Perdana Menteri mengetahui implikasi keputusan tersebut, namun tidak berani mempertahankan sistem pendidikan negara kerana bimbang kehilangan sokongan politik.
“Bila tiba masa membuat keputusan, mereka memilih politik, bukan prinsip,” katanya lagi.
Nurhafizah turut mendakwa, rakyat berhak menilai kepimpinan negara sekiranya isu berkaitan asas pendidikan nasional gagal dipertahankan kerajaan. – MalaysiaGazette















