Mohd Zai Mustafa

KUALA LUMPUR – Gerakan Pembela Ummah Malaysia (UMMAH) mempersoalkan tindakan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang membenarkan lepasan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) memasuki institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Pengerusinya, Mohd Zai Mustafa mendakwa, langkah itu menimbulkan persoalan sama ada Kerajaan MADANI tunduk kepada tekanan dan desakan politik parti tertentu bagi mendapatkan pengiktirafan terhadap sijil berkenaan.

“UEC merupakan sistem peperiksaan diwujudkan oleh sebuah pertubuhan pendidikan Cina yang tidak bersetuju dengan sistem peperiksaan awam arus perdana kendalian Kementerian Pendidikan (KPM).

“Anehnya, bagaimana sekolah swasta Cina yang tidak mengiktiraf sistem arus perdana tiba-tiba mahu masuk ke IPTA yang melaksana dan menerima sistem arus perdana dengan mendesak KPM dan KPT mengiktiraf sijil mereka,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, KPT mengumumkan calon lepasan sekolah atau institusi tahfiz serta SMPC atau UEC berpeluang mengikuti program tertentu yang dikenal pasti di IPTA.

Langkah itu dipersetujui berdasarkan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri berkaitan laluan kemasukan pelajar lepasan di luar sistem pendidikan kebangsaan ke IPTA.

Menurut Mohd Zai, pengiktirafan tersebut didakwa berpotensi mewujudkan dua aliran sistem pendidikan dalam negara iaitu sistem pendidikan arus perdana dan sistem pendidikan swasta Cina.

“Keadaan itu dikhuatiri akan menjejaskan matlamat pendidikan negara kerana melibatkan kemasukan pelajar daripada dua sistem pendidikan yang berbeza,” katanya.

Mohd Zai turut mendakwa, sistem pendidikan berasaskan UEC bercanggah dengan asas Perlembagaan Persekutuan, Akta Pendidikan 1996 serta Akta Bahasa Kebangsaan 1967.

“Pengiktirafan ini dilihat sebagai satu pengkhianatan kepada dasar pendidikan kebangsaan dan dasar bahasa kebangsaan yang boleh menjejaskan perpaduan kaum dalam negara,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan sama ada langkah pengiktirafan berkenaan dibuat bagi memenuhi tuntutan politik serta manifesto kepada pengundi tertentu.

“Selagi sistem pendidikan swasta Cina terus wujud, matlamat dasar pendidikan negara untuk mencapai kesejahteraan dan perpaduan kaum tidak akan dapat dicapai sepenuhnya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast