KUALA LUMPUR – Polis menafikan dakwaan tidak berasas berhubung kematian seorang anggotanya semasa menjalani sesi latihan kawad tambahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang, Rabu lalu kononnya mempunyai unsur penganiayaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superitenden Mior Mohd Nor berkata, laporan bedah siasat daripada Hospital Sultan Idris Shah, Serdang mengesahkan kematian mangsa yang berusia 37 tahun itu adalah akibat penyakit jantung (coronary atherosclerosis).

“Penjelasan terperinci berkaitan perkara itu sudah disampaikan secara bersemuka oleh pakar patologi forensik kepada ahli keluarga Allahyarham.

“Pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang menyangkal dakwaan tidak berasas yang mengatakan insiden itu mempunyai unsur penganiayaan.

“Satu jawatankuasa penyiasat tetap ditubuhkan bagi menjalankan siasatan lanjut mengikut prosedur operasi standard (SOP) secara profesional dan telus bagi memastikan setiap aspek diteliti sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Mahmudiah, Bukit Keteri, Perlis jam 11 pagi semalam.

Terdahulu, IPD Sepang mengesahkan kejadian kematian melibatkan pegawainya Koperal Khairil Idzhar Rodzi yang bertugas di Balai Polis Datuk Abu Bakar Baginda.

Insiden tersebut berlaku di pekarangan padang kawad IPD Sepang kira-kira pukul 4 petang kelmarin semasa sesi latihan kawad tambahan dijalankan.

Susulan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan sebarang spekulasi tidak sahih demi menjaga kebajikan serta menghormati sensitiviti keluarga Allahyarham. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast