YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim semasa Hari Belia Negara 2026 di Negeri Sembilan. 15 Mei 2026. SHAHNAZ FAZLIE/Pejabat Perdana Menteri.

KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) digesa mengadakan perbincangan lanjut untuk mengambil tindakan tegas berhubung isu kontroversi membabitkan status kerakyatan tujuh pemain warisan Harimau Malaya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, FAM perlu mengemukakan laporan hasil daripada pertemuan tersebut kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Yang itu biar FAM bincang dulu, kemudian dikemuka kepada Menteri Dalam Negeri. Ikut proses biasa,” katanya kepada media selepas merasmikan Hari Belia Negara 2026 di Sendayan, Negeri Sembilan, hari ini.

Beliau menjawab soalan mengenai cadangan agar tujuh pemain warisan itu ditarik kerakyatan negara ini.

Sebelum ini kumpulan penyokong bola sepak negara, Ultras Malaya mendesak agar kerakyatan tujuh pemain warisan terbabit ditarik balik yang terkandung antara tiga tuntutan dikemukakan dalam melaksanakan ‘boikot fasa 1’ terhadap pasukan kebangsaan berkuat kuasa serta-merta.

Selain menuntut supaya menarik balik kerakyatan tujuh pemain berkenaan, Ultras Malaya turut menuntut supaya pengurusan Harimau Malaya dipulangkan kepada FAM dan menggesa reformasi bola sepak Malaysia.

Terdahulu, Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) menolak rayuan yang dikemukakan FAM dan pemain terbabit berhubung dakwaan pemalsuan dokumen.

Keputusan itu sekali gus mengekalkan hukuman asal penggantungan 12 bulan yang dijatuhkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Tujuh pemain terbabit ialah Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Hector Hevel. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast