Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak, Mohamad Shukri Khotob menunjukkan peta operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Indonesia yang terlibat dalam insiden bot karam di perairan Pulau Pangkor di Markas Operasi Pasukan Polis Marin Polis Diraja Malaysia (PDRM) Wilayah Satu, Kampung Acheh. Foto ABDULLAH YUSOF 13 MEI 2026.

IPOH – Empat lagi mayat mangsa bot membawa migran warga Indonesia yang tenggelam di perairan Pulau Pangkor ditemukan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang maut meningkat kepada 16 orang setakat ini.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata tiga daripada mangsa ialah lelaki dan dijumpai pada kedudukan kira-kira 2.5 batu nautika barat daya Pulau Buloh manakala satu lagi belum dikenal pasti identitinya dan ditemukan sekitar 21.4 batu nautika barat daya Pulau Sangga Kechil.

“Mayat yang belum dapat disahkan identiti itu dijumpai oleh pihak APMM melalui PERKASA 1238 sekitar sekitar 3 petang manakala tiga lagi dijumpai oleh Tentera Laut Diraja Malaysia sekitar 5.45 petang tadi,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata jumlah mangsa yang diselamatkan ialah 23 orang manakala 16 lagi terkorban, menjadikan jumlah keseluruhan 39 setakat ini berbanding 37 seperti dilaporkan sebelum ini.

“Esok merupakan hari ketujuh operasi mencari dan menyelamat dijalankan… sekiranya tiada lagi penemuan mayat, operasi berkenaan berkemungkinan ditamatkan,” katanya.

Insiden pada 11 Mei lepas menyaksikan sebuah bot yang dipercayai membawa migran warga Indonesia tenggelam kira-kira 8.2 batu nautika dari Pulau Pangkor ketika dalam perjalanan ke beberapa destinasi di Malaysia. – BERNAMA

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast