KUALA LUMPUR – Lepasan tahfiz sudah lama mengikuti Kurikulum Kebangsaan serta menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai syarat kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).
Naib Presiden Pas, Datuk Seri Mohd Amar Abdullah menegaskan, cubaan mengaitkan isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepada (UEC) dengan lepasan tahfiz adalah tidak tepat dan mengelirukan rakyat.
“Cadangan atau tanggapan untuk menyamakan kedudukan tahfiz dengan pemegang UEC adalah tidak tepat dan tidak wajar.
“Tindakan mengaitkan isu ini dengan lepasan tahfiz seolah-olah memberikan laluan khas kepada mereka adalah satu penipuan fakta dan cubaan untuk memperdaya rakyat serta mencabar prinsip pendidikan negara,” katanya menerusi satu kenyataan, semalam.
Sebelum ini, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengumumkan calon lepasan sekolah atau institusi tahfiz serta SMPC atau UEC berpeluang mengikuti program tertentu yang dikenal pasti di IPTA.
Langkah itu dipersetujui berdasarkan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri berkaitan laluan kemasukan pelajar lepasan di luar sistem pendidikan kebangsaan ke IPTA.
Mohd Amar yang juga Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat berkata, majoriti sekolah tahfiz di negara ini telah mengintegrasikan Kurikulum Kebangsaan dalam sistem pendidikan masing-masing.
“Pelajar tahfiz bukan sahaja menghafaz al-Quran dan mendalami ilmu agama Islam, malah turut mempelajari mata pelajaran akademik.
“Ini termasuk Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Sejarah, Pendidikan Islam, Pendidikan Syariah Islamiah, Pendidikan al-Quran dan al-Sunnah serta Tasawwur Islam,” katanya.
Menurut Mohd Amar, sebahagian besar pelajar tahfiz yang menduduki peperiksaan awam kebangsaan terutamanya SPM dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) setanding pelajar sekolah kebangsaan.
“Ini bermakna lepasan tahfiz telah memenuhi syarat asas kemasukan ke IPTA, sama seperti pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) biasa,” katanya.
Katanya, pelajar tahfiz juga mempelajari subjek agama seperti Pendidikan Syariah Islamiah, Pendidikan al-Quran dan al-Sunnah serta Tasawwur Islam, selain menduduki peperiksaan awam seperti SPM dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).
“Ini membuktikan lepasan tahfiz memenuhi syarat asas kemasukan ke IPTA sama seperti pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK),” katanya.
Beliau turut menjelaskan pelajar tahfiz yang tidak mengikuti kurikulum kebangsaan sepenuhnya tetap mengambil inisiatif menduduki SPM sebagai calon persendirian menerusi program Fast Track SPM yang disediakan pelbagai institusi pendidikan.
“Sekolah dan madrasah tahfiz tidak pernah menuntut sijil dalaman mereka diiktiraf setaraf SPM bagi kemasukan ke IPTA.
“Sebaliknya, mereka akur dengan sistem pendidikan negara dan bersedia menduduki peperiksaan kebangsaan yang ditetapkan kerajaan,” katanya.
Beliau menegaskan, tidak wajar menjadikan sekolah tahfiz sebagai alasan untuk menyokong pengiktirafan sijil peperiksaan asing seperti UEC yang berada di luar kerangka sistem pendidikan kebangsaan.
“Institusi tahfiz kini bukan sahaja melahirkan huffaz al-Quran, malah menghasilkan pelajar cemerlang dalam bidang akademik, profesional dan kepimpinan.
“Ramai lepasan tahfiz berjaya melanjutkan pengajian ke universiti tempatan dan luar negara dalam bidang seperti perubatan, kejuruteraan dan syariah, sekali gus membuktikan kemampuan mereka bersaing di peringkat tertinggi,” katanya.
Tambah beliau, kurikulum tahfiz juga mematuhi Dasar Pendidikan Kebangsaan serta memperkukuhkan kedudukan Bahasa Melayu dan mata pelajaran teras kenegaraan selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
“Tindakan menyamakan sekolah tahfiz dengan sistem pendidikan yang menggunakan peperiksaan selain kebangsaan semata-mata untuk menyokong tuntutan politik tertentu adalah tidak wajar.
“Malah ia boleh disifatkan sebagai pengkhianatan terhadap sistem pendidikan negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















