Mustakim Mohamad merasai makanan untuk jemaah haji Malaysia ketika melawat dapur berpusat di kilang Tadco, dekat Al Zaidi, Makkah.
MAKKAH – Lembaga Tabung Haji (TH) masih mengekalkan kos haji pada kadar RM33,300 selama tiga tahun berturut-turut meskipun berdepan peningkatan pelbagai kos operasi termasuk bahan api, penerbangan dan bahan mentah makanan susulan konflik di Asia Barat.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad berkata, walaupun kos keseluruhan meningkat, TH tetap komited menambah baik kemudahan serta perkhidmatan kepada jemaah tanpa membebankan mereka dengan kenaikan bayaran haji.

“Alhamdulillah, semuanya masih dalam kos haji RM33,300. Dalam kos yang berjaya dikekalkan itu, kita terus memberikan penambahbaikan kepada jemaah.

“Nilai tambah itu tetap ada walaupun kos tidak meningkat,” katanya selepas mengadakan lawatan di dua kilang yang membekalkan makanan kepada jemaah haji muassasah di sini.

Bagaimanapun, menurutnya, keupayaan TH untuk mengekalkan kos haji pada masa depan amat bergantung kepada perkembangan konflik.

“Kalau konflik ini berpanjangan lama, kita tak tahu kos hadapan macam mana, ia adalah perkara yang kita tak boleh nak jangka sebab konflik masih lagi berlaku.

“Namun, TH akan cuba sedaya upaya untuk kekalkan kos. Tapi saya tidak boleh jamin.

“Doakan supaya TH dapat terus mengekalkan momentum ini, tambah baik perkhidmatan tanpa melibatkan kos yang tinggi,” tambah beliau lagi.

Artikel berkaitan:

TH sedia sofa bed, kemudahan masyair lebih selesa untuk jemaah haji

 

Beliau berkata, kos makanan sebenarnya bukan komponen terbesar dalam keseluruhan operasi haji, sebaliknya perbelanjaan tertinggi melibatkan penginapan dan penerbangan.

“Kalau tak silap saya, kos makan minum ini sekitar 10 peratus sahaja. Kos paling besar ialah penginapan dan penerbangan,” katanya.

Menurut beliau, sektor penerbangan menerima kesan paling besar apabila syarikat penerbangan terpaksa mengubah laluan penerbangan, sekali gus menambah masa perjalanan.

“Itu secara langsung meningkatkan penggunaan bahan api dan kos penerbangan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan kos bahan mentah makanan di Arab Saudi juga meningkat dan memberi kesan berantai kepada operasi penyediaan makanan jemaah. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast