Ahmad Samsuri Mokhtar

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kemaman, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar dilantik sebagai Ketua Pembangkang bagi menggantikan Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang dipecat daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Setiausaha Agung Perikatan Nasional, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, keputusan itu dibuat menerusi Mesyuarat Majlis Tertinggi PN Kali Ke-2 (2026) hari ini.

Tambahnya, mesyuarat hari ini secara prinsip turut bersetuju untuk menerima kerjasama pilihan raya atau electoral pact bersama parti-parti tertentu yang mempunyai keserasian perjuangan dan kepentingan.

Selain itu katanya lagi, mesyuarat juga membincangkan beberapa isu semasa yang menjadi perhatian rakyat dan kepentingan negara.

“Perikatan Nasional akan terus memainkan peranan sebagai suara semak dan imbang yang bertanggungjawab, konstruktif dan berprinsip demi memastikan kepentingan rakyat serta masa depan negara sentiasa diutamakan,” katanya menerusi kenyataan.

Selain itu Takiyuddin berkata, PN hari ini melantik pengerusi-pengerusi di peringkat negeri.

Antaranya Datuk Seri Shahidan Kassim (Perlis); Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor (Kedah); Datuk Dr Dominic Lau (Pulau Pinang); Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Selangor).

“Datuk Mohd Radzi Jidin (Pengerusi PN Melaka dan Wilayah Persekutuan);  Datuk Dr Shahruddin Jamal (Johor); Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (Pahang); Datuk Dr Alias Razak (Terengganu); Datuk Ahmad Yaakob (Kelantan); Datuk Dr Aliakbar Gulasan (Sabah); dan Jaziri Alkaf Abdillah Suffian (Sarawak),” ujarnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast