Fahmi Fadzil meninjau persiapan akhir Konvensyen Pakatan Harapan 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Fahmi Fadzil berharap keputusan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Wilayah Persekutuan, Asheeq Ali Sethi Alivi keluar parti itu akan ‘mengubati’ rasa tidak puas hatinya.

Fahmi yang juga Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH) berkata, Asheeq Ali baru sahaja menyertai PKR pada 2018 selepas Langkah Sheraton berlaku.

“Semoga terubat apa-apa yang tersakiti untuk dia. Dia tak pernah berada dalam parti waktu kita menghadapi saat-saat paling getir sama ada pengkhianatan (Datuk Seri Mohamed) Azmi Ali untuk Keadilan khususnya saat yang paling getir antara lain bila Keadilan tinggal satu kerusi pada tahun 2004.

“Dan bila ramai dalam parti saya rasa kita tidak akan goyang hanya kerana mungkin dia ada pandangan lain, I wish him all the best,” ujar Ahli Parlimen Lembah Pantai berkenaan.

Beliau berkata demikan dalam sidang akhbar selepas melawat persiapan akhir Konvensyen Pakatan Harapan 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini, hari ini.

Fahmi berkata, beliau juga tidak akan menggunakan khidmat Asheeq Ali sebagai penguam dalam kes selepas ini dan akan digantikan dengan peguam lain.

Asheeq Ali hari ini mengumumkan peletakan semua jawatannya dalam parti termasuk sebagai Ketua AMK Wilayah Persekutuan, Ketua Cabang PKR Batu serta keluar daripada PKR berkuat kuasa serta-merta.

Dalam satu kenyataan, Asheeq Ali berkata, keputusan itu dibuat selepas beliau berasakan hala tuju parti kini semakin menjauh daripada asas perjuangan dan idealisme reformasi yang diyakininya sejak menyertai PKR susulan kejatuhan kerajaan PH melalui Langkah Sheraton.

Menurutnya, beliau pada awalnya percaya masih terdapat ruang untuk menyesuaikan diri dengan pendekatan baharu parti, namun akhirnya berdepan konflik antara idealisme perjuangan dan pragmatisme politik yang semakin menebal dalam PKR.

“Banyak keputusan yang diambil oleh kerajaan pada hari ini menyimpang daripada asas perjuangan yang saya percaya sejak zaman aktivisme saya dahulu sehingga kini,” katanya.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast