Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Dr Ibrahim Ali

SHAH ALAM – Himpunan Daulat Tuanku hari ini mengesyorkan agar satu Rang Undang-Undang (RUU) Akta Kedaulatan Raja digubal dan diperkenalkan semula di Parlimen.

Presiden Putra, Datuk Dr Ibrahim Ali ketika membacakan Perisytiharan 16 Mei 2026 berkata, ini kerana RUU Akta Kedaulatan Raja yang bersifat Akta Keselamatan Dalam Negeri telah dimansuhkan sebelum ini.

Menurutnya, RUU itu sebagai satu mekanisme perundangan khas yang memperuntukkan pihak yang menghina Raja-Raja Melayu atau institusi diraja boleh ditahan tanpa waran mahkamah selama dua minggu oleh pegawai kanan polis untuk tujuan siasatan.

“Ia bertujuan mencegah dan menghukum mana-mana pihak atau individu yang mempersoalkan titah diraja, menghina, mengeji, memperlekeh, mempersenda atau melakukan apa-apa bentuk tindakan mencemarkan martabat institusi diraja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membacakan Pengisytiharan 16 Mei 2026 dalam Himpunan Daulat Tuanku di luar pekarangan bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, petang tadi.

Ribuan perserta berbaju kuning sambil membawa sepanduk hadir ke Himpunan Daulat Tuanku di hadapan Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. Foto MUHAIMIN MARWAN, 16 MEI 2026.

Terdahulu perhimpunan aman itu dimulakan dengan penyerahan Memorandum Sembah Taat Setia kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Bukit Kayangan, kira-kira jam 4 petang tadi.

Ia kemudian disusuli solat Asar berjemaah di Masjid Negeri SSAAS yang menyaksikan kehadiran kira-kira 5,000 peserta bagi menyatakan sokongan dan mempertahan institusi Raja-Raja Melayu.

Perhimpunan itu berlangsung aman dengan para peserta dilihat membawa sepanduk serta melaungkan slogan mempertahankan institusi diraja daripada sebarang bentuk penghinaan.

Sementara itu, Ibrahim berkata, RUU itu juga memperuntukkan mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan tahanan selama satu tahun dan boleh diperbaharui tahun ke tahun, jika mereka tidak insaf atas perbuatan mempersenda Raja-Raja Melayu dan institusi diraja tanpa perbicaraan di mahkamah.

Selain itu, Himpunan Daulat Tuanku juga mencadangkan agar diwujudkan Lembaga Kedaulatan Raja bagi meneliti dan membuat syor berdasarkan kesalahan-kesalahan yang dilakukan pihak-pihak tertentu atau mana-mana individu.

“Ia tertakluk kepada peruntukan undang-undang negara serta prinsip keadilan menurut Perlembagaan Persekutuan.

“Lembaga ini hendaklah terdiri daripada Ketua Hakim Negara sebagai Pengerusi, Perdana Menteri, Peguam Negara, Ketua Polis Negara, Pengarah Keselamatan Dalam Negeri, dan tiga hingga empat individu dilantik oleh Majlis Raja-Raja Melayu,” katanya.

Ribuan perserta berbaju kuning sambil membawa sepanduk hadir ke Himpunan Daulat Tuanku di hadapan Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. Foto MUHAIMIN MARWAN, 16 MEI 2026.

Jelasnya, Akta Kedaulatan Raja ini juga memperuntukkan mana-mana individu yang melakukan kesalahan dan mempunyai bukti cukup dan jelas boleh juga dihadapkan ke mahkamah secara terbuka berdasarkan proses undang-undang yang sah menurut lunas-lunas perundangan negara.

“Himpunan Daulat Tuanku turut memohon perkenan Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu agar diwujudkan juga sebuah Lembaga Kesetiaan Negara untuk menilai serta mengesyorkan tindakan perlucutan taraf kewarganegaraan.

“Ia terpakai terhadap mana-mana individu atau pihak yang melakukan tindakan biadab, penderhakaan dan penghinaan baik dari segi percakapan, penulisan atau apa jua bentuk perbuatan terhadap Institusi Raja-Raja Melayu dan kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan,” katanya.

Ribuan perserta berbaju kuning sambil membawa sepanduk hadir ke Himpunan Daulat Tuanku di hadapan Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. Foto SADIQ SANI, 16 MEI 2026.

Ibrahim juga berkata, pihaknya mencadangkan agar lembaga ini dianggotai sembilan anggota yang dilantik oleh Majlis Raja-Raja Melayu.

“Dua cadangan dalam perisytiharan ini iaitu RUU Akta Kedaulatan Raja dan penubuhan Lembaga Kesetiaan Negara dikemukakan melalui Himpunan Daulat Tuanku ini.

“Ia sebagai reaksi serta langkah pencegahan bagi memastikan tiada lagi sebarang bentuk penghinaan, penderhakaan dan tindakan mencabar kedaulatan Raja-Raja Melayu serta kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan berlaku pada masa akan datang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast