Menteri Besar Selangor merangkap Pengerusi Pakatan Harapan Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pada Konvensyen Harapan 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Johor Bahru. Foto FAREEZ FADZIL, 17 MEI 2026.

JOHOR BAHRU – Laungan Reformasi bergema lebih 6,000 perwakilan dan penyokong ketika Konvensyen Pakatan Harapan (PH) Johor 2026 berlangsung di sini hari ini, sebaik Datuk Seri Amirudin Shari tampil menyampaikan ucapan penuh semangat mempertahankan rekod pentadbiran gabungan itu.

Pengerusi Majlis Pimpinan PH Selangor itu berkata, meskipun kerajaan pimpinan PH mungkin tidak popular dalam beberapa keputusan dasar, namun gabungan tersebut tetap memilih untuk menyelesaikan isu rakyat terutama melibatkan kos sara hidup dan kestabilan ekonomi negara.

“Kita mungkin tidak popular, tetapi kitalah yang menyelesaikan isu ‘bread and butter’ rakyat ketika ini.

“Ada pihak jual nama agama dan bangsa, tetapi dalam masa sama penuhkan kantung peribadi kerana bimbang dengan kehadiran kita,” katanya.

Berucap pada konvensyen itu, Amirudin turut menegaskan kejayaan PH mentadbir Putrajaya hari ini lahir daripada asas pentadbiran kukuh yang dibina di Selangor dan Pulau Pinang sejak sekian lama.

Menurut beliau, kedua-dua negeri itu menjadi model pentadbiran, reformasi institusi dan tadbir urus yang akhirnya membuka jalan kepada pembentukan Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Selangor dan Pulau Pinang adalah model, contoh dan tauladan bahawa kita mampu mentadbir kerajaan dengan baik, telus dan berintegriti,” tegasnya.

Beliau berkata, pelbagai reformasi institusi yang hari ini dibangkitkan rakyat di peringkat Persekutuan sebenarnya telah lama dilaksanakan di negeri-negeri ditadbir PH.

Amirudin turut memuji usaha reformasi Parlimen yang menurutnya semakin diperkasakan di bawah pentadbiran PH termasuk mengembalikan Akta Perkhidmatan Parlimen yang pernah dimansuhkan sebelum ini.

Pada masa sama, beliau menepis dakwaan kononnya reformasi dan tadbir urus baik akan menjejaskan ekonomi negara.

Sebaliknya, katanya, negeri-negeri ditadbir PH menunjukkan prestasi ekonomi memberangsangkan termasuk Selangor yang merekodkan pelaburan melebihi RM680 bilion tahun lalu serta mewujudkan kira-kira 60,000 peluang pekerjaan baharu.

“Semua ini berlaku kerana pelabur ada keyakinan terhadap sistem, ketelusan dan kestabilan pentadbiran kita,” ujarnya.

Mengulas isu subsidi dan bantuan rakyat, Amirudin mengakui beberapa langkah penstrukturan semula kerajaan mungkin tidak disenangi segelintir pihak, namun ia perlu dilakukan demi memastikan bantuan sampai kepada golongan benar-benar memerlukan.

Beliau berkata, langkah seperti Budi Madani dan penyusunan semula subsidi membuktikan kerajaan berani mengambil keputusan sukar demi manfaat jangka panjang rakyat.

Katanya, hasil penjimatan dan penstrukturan semula itu kemudiannya disalurkan semula kepada rakyat melalui inisiatif seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Dalam pada itu, Amirudin turut mengingatkan ahli dan penyokong PH cabaran politik hari ini bukan lagi sekadar isu ekonomi semata-mata, tetapi turut melibatkan usaha mempertahankan perpaduan dan rasa selamat rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Beliau mengkritik pihak tertentu yang didakwa memainkan sentimen agama dan kaum untuk kepentingan politik sempit selain cuba menolak pendekatan politik berbilang kaum.

“Kita pertahankan semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama berdasarkan Perlembagaan serta hak yang dijamin kepada mereka,” katanya.

Beliau turut memberi amaran mengenai kebangkitan politik pelampau dan ‘far-right’ yang menurutnya semakin ketara di beberapa negara termasuk Amerika Syarikat (AS).

Katanya, pendekatan ekstrem mungkin kelihatan popular dalam jangka pendek, namun akhirnya akan merosakkan negara dan masyarakat.

Di akhir ucapan, Amirudin menyeru seluruh jentera dan pimpinan PH supaya terus turun ke bawah mendekati rakyat serta bersiap sedia menghadapi persaingan politik di beberapa negeri termasuk Johor dan Melaka. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast