JOHOR BAHRU – Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Kelantan, Datuk Seri Mohamad Supardi Md Noor menggesa kepimpinan Pakatan Harapan (PH) menyingkirkan unsur sabotaj dalaman sekiranya gabungan itu benar-benar serius mahu menawan Kelantan.
Menurutnya, PH tidak boleh bergerak dalam keadaan sesama sendiri mempunyai agenda berbeza kerana keadaan itu hanya akan melemahkan gerak kerja parti di peringkat akar umbi.
“Kalau ada duri dalam daging, kita minta kepimpinan PH buang jauh-jauh api dalam sekam ini.
“Kita tidak boleh tidur satu bantal tapi mimpi lain-lain,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Pakatan Harapan di Persada Johor di sini, hari ini.
Beliau berkata, kekuatan sebenar parti bukan terletak pada nama atau simbol semata-mata, sebaliknya bergantung kepada kesetiaan anggota dan kesepaduan gerak kerja antara semua komponen dalam gabungan itu.
Katanya, perbezaan pandangan dalam parti perlu diselesaikan menerusi meja rundingan dan bukannya dibawa secara terbuka sehingga menjejaskan imej PH.
Menurut beliau, soal pembahagian kerusi dan calon juga perlu diserahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan kepimpinan tertinggi untuk dimuktamadkan demi menjaga kesatuan parti.
Dalam ucapannya, Mohamad Supardi turut menekankan tiga kerangka utama penyatuan dalam PH iaitu wahdatu fikrah (penyatuan pemikiran), wahdatu qalbu (penyatuan hati) dan wahdatu amal (penyatuan tindakan).
Beliau berkata, PH juga perlu bergerak dengan satu identiti bersama dan tidak terlalu menonjolkan jenama parti komponen secara berasingan.
“Kalau kita bergerak secara sendiri-sendiri, rakyat akan nampak kita tidak sepakat. Penjenamaan utama kita ialah PH,” tegasnya.
Pada masa sama, beliau menegaskan kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu dipertahankan kerana disifatkan lebih baik berbanding pentadbiran terdahulu.
Katanya, politik lama berasaskan kaum dan agama juga perlu ditamatkan bagi memberi ruang kepada landskap politik baharu yang lebih menekankan kebajikan rakyat tanpa mengira kaum dan agama.
“Kita mahu bina politik berasaskan keadilan, amanah, integriti dan demokrasi sebenar untuk rakyat,” ujarnya.
Menyentuh mengenai Kelantan, beliau mengakui PH masih berdepan cabaran besar di negeri itu berikutan kekangan gerak kerja serta kekurangan wakil rakyat.
Namun katanya, dengan pendekatan lebih strategik dan tersusun, PH masih mempunyai peluang untuk mengukuhkan pengaruh di negeri tersebut.
Beliau mencadangkan supaya setiap daripada 14 menteri PH mengambil satu kawasan Parlimen di Kelantan sebagai kawasan angkat untuk digerakkan secara agresif.
“Kelantan ada 14 Parlimen dan kita ada 14 menteri. Kalau setiap menteri ambil satu Parlimen untuk dibuat kerja secara fokus, saya yakin panji PH boleh bertapak di Kelantan,” katanya. -MalaysiaGazette















