Anwar bertemu penghantar makanan p-hailing dalam Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Rakyat Negeri Johor di Dewan Terbuka PPR Taman Desa Mutiara, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kerajaan merancang untuk meningkatkan had kuota Budi MADANI RON95 (BUDI95) bagi penghantar makanan p-hailing kepada 250 liter.

Perdana Menteri berkata, rancangan tersebut akan dibawa dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), Selasa ini.

“Perkara ini akan dibawa untuk perbincangan lanjut bersama-sama Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil bagi mencari jalan meningkatkan sekurang-kurangnya 50 liter lagi daripada kuota asal.

“Langkah ini diambil selepas mengambil maklum bahawa had semasa sebanyak 200 liter sebulan bagi golongan berkenaan adalah menyamai kadar penggunaan biasa sekali gus memerlukan penelitian semula demi kebajikan mereka.

“Mesyuarat hari Selasa ini, saya akan bawa dalam mesyuarat, bincang. Sebab dia dapat 200 sama macam kitalah, RON95 200 sahaja liter. Jadi saya kata, nanti saya peringatkan saudara Fahmi (Datuk Fahmi Fadzil), kita cari jalan kalau sekurang-kurangnya naik dah 50, (menjadi) 250,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Rakyat Negeri Johor di Dewan Terbuka PPR Taman Desa Mutiara, Tebrau di sini hari ini.

Jelas Anwar, rancangan itu tercetus hasil inisiatif beliau sendiri yang turun padang bertanya dan mendengar keluhan golongan penghantar makanan (Foodpanda) mengenai kecukupan kuota sedia ada.

Dalam pada itu katanya, keupayaan kerajaan menyalurkan bantuan infrastruktur dan mengekalkan harga petrol subsidi RON95 pada kadar RM1.99 seliter yang disifatkannya antara yang terendah di dunia, adalah hasil kestabilan negara, hubungan diplomatik yang baik serta kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

Pada majlis sama, Perdana Menteri turut mengarahkan pegawainya menyegerakan bantuan membaiki kemudahan tandas rosak di Sekolah Bukit Mutiara selepas perkara itu dibangkitkan warga penduduk.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast