KUALA LUMPUR – Seorang pemandu teksi mengalami kecederaan selepas kereta dipandu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke dalam longkang besar di Lebuh Raya Salak menghala ke Kajang semalam.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd berkata, bagaimanapun pihaknya masih belum menerima sebarang laporan namun telah menjalankan siasatan awal berhubung kejadian itu.
“Hasil siasatan mendapati, kejadian berlaku sekitar 8.10 pagi membabitkan sebuah teksi jenis Perodua Bezza dipandu lelaki tempatan berusia 28 tahun.
“Pemandu teksi itu sedang bergerak lurus di lokasi kejadian sebelum dipercayai hilang kawalan kerana terlelap semasa memandu lalu terbabas memasuki longkang di sebelah kiri jalan.
VIDEO BERKAITAN
“Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala, kedua-dua tangan serta kaki kiri,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Tambah Mohd Zamzuri, pemandu terbabit masih lemah dan sedang menerima rawatan lanjut di wad neurologi di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).
“Kita masih menjalankan siasatan lanjut termasuk mendapatkan rakaman kamera litar tertutup bagi mengesan saksi bebas serta pemeriksaan di lokasi kejadian.
Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau berkata, orang ramai atau saksi kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Terdahulu, tular video memaparkan sebuah teksi terbabas ke dalam longkang di Bandar Sri Pemaisuri dan pihak anggota bomba hadir membantu mengeluarkan mangsa dari kenderaan terbabit – MalaysiaGazette
















