LOS ANGELES – Dua jet pejuang bertembung di udara dalam satu acara pertunjukan udara di Idaho, Amerika Syarikat (AS) pada Ahad, dengan juruterbang dilaporkan berjaya menyelamatkan diri menggunakan payung terjun, menurut media AS.
Satu kenyataan yang dimuat naik di laman sesawang Gunfighter Skies Air Show mengesahkan bahawa `satu insiden pesawat telah berlaku di Pangkalan Tentera Udara Mountain Home’ kira-kira `dua batu di barat laut pangkalan itu’.
“Pasukan penyelamat berada di lokasi kejadian, siasatan sedang dijalankan dan maklumat lanjut akan diumumkan nanti,” menurut kenyataan itu seperti dilaporkan AFP.
Rangkaian sekutu tempatan CBS News, KOMO pula melaporkan, kesemua empat kru berjaya keluar dengan selamat daripada dua jet pejuang EA-18 milik Tentera Laut AS.
Video yang dikongsi di media sosial menunjukkan jet-jet tersebut bertembung dan berpusing di udara sebelum terhempas, menyebabkan letupan serta kepulan asap hitam yang besar, sementara empat payung terjun kelihatan melayang turun.
Komander Amelia Umayam, jurucakap Naval Air Forces US Pacific Fleet memberitahu KOMO bahawa jet EA-18G Growler itu berpangkalan di Whidbey Island, Washington.
NBC News melaporkan nahas itu menyebabkan pertunjukan udara dibatalkan dan pangkalan berkenaan ditutup sepenuhnya ketika pasukan kecemasan berada di lokasi kejadian serta memulakan siasatan.
Cubaan untuk menghubungi pihak pangkalan bagi mendapatkan komen tidak berjaya buat masa ini, kata AFP. – MalaysiaGazette
















