KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menyifatkan sudah tiba masanya UMNO membuat keputusan keluar daripada Kerajaan Perpaduan.
Katanya, ia berikutan kelantangan pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang bertekad untuk menguburkan Barisan Nasional (BN) buat kali kedua pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor akan datang.
Menurut beliau, PH sepatutnya bergembira dengan keputusan BN Johor bertanding semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri pada PRN negeri itu akan datang.
Ini kerana, ujar beliau, keputusan BN Johor itu secara tidak langsung membuka peluang untuk PH Johor bertanding lebih banyak kerusi seperti yang diidamkan gabungan parti politik tersebut sebelum ini.
“Nak kuburkan UMNO? Kita jangan melebihi kuasa Allah.
“Biar rakyat yang buat keputusan, kita berusaha dan serahkan pada Allah.
“Alang-alang nak kuburkan UMNO, rasanya dah sampai masa juga UMNO keluar jer dari kerajaan perpaduan ini,” katanya menerusi Facebook semalam.
Semalam, Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan berkata, pihaknya bertekad untuk menguburkan BN buat kali kedua di Johor pada PRN akan datang selepas BN mengumumkan untuk bergerak secara solo.
Menurut Aminolhuda, perkara itu tidak mustahil dilakukan kerana pihaknya pernah memenangi sehingga 38 kerusi DUN Johor sebelum ini. – MalaysiaGazette
















