KUALA LUMPUR – Tindakan Datuk Seri Rafizi Ramli mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pelaburan RM1.1 bilion antara kerajaan dan Arm Holdings plc disifatkan bukan sahaja tidak berasas, malah mencerminkan Ahli Parlimen Pandan berkenaan semakin terdesak dan hilang arah dalam percaturan politik semasa.
Bekas Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid menegaskan, Rafizi sepatutnya mempertahankan diri melalui saluran undang-undang sekiranya benar beliau tidak melakukan sebarang kesalahan dan bukannya cuba membina persepsi kononnya dirinya dizalimi.
Menurutnya, cubaan mengaitkan Anwar dan SPRM hanya dilihat sebagai taktik mengalih perhatian rakyat daripada isu sebenar yang sedang dihadapi.
“Kalau rasa tidak bersalah dan bukti itu sampah, buktikanlah di mahkamah. Kenapa perlu heret rakyat dan gambarkan diri paling baik? Di mana zalimnya? Jangan kaitkan PM dan SPRM dalam perkara ini.
“Rafizi sudah ketandusan haluan, kecederaan akal. Politik yang dibawa adalah politik kangkung bersepah di parit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Rafizi berkata, terpulang kepada SPRM sama ada untuk memanggil Anwar dan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berhubung siasatan pelaburan RM1.1 bilion dengan Arm Holdings plc kerana keputusan itu dibuat di peringkat Kabinet, bukan melibatkan dirinya sahaja.

Tambah Abdullah Sani, Rafizi kini dilihat semakin terdesak sehingga sanggup mencetuskan pelbagai naratif politik semata-mata untuk meraih perhatian, termasuk mengosongkan kerusi Parlimen Pandan dan bertindak meninggalkan PKR ketika pimpinan PKR sedang memberi tumpuan kepada konvensyen parti serta agenda rakyat.
Beliau berkata, seluruh kepimpinan PKR ketika ini lebih fokus mendekati rakyat dan memperkukuh pentadbiran kerajaan, berbanding melayan dakwaan yang disifatkannya tidak membawa manfaat kepada parti mahupun negara.
“Menteri lain sibuk bekerja dan santuni rakyat. Perdana Menteri juga jelas bekerja untuk negara. Jadi apa yang dia buat ketika jadi Menteri Ekonomi dahulu?
“Banyak cakap soal formula ekonomi tetapi rakyat sendiri tidak nampak hasilnya,” katanya lagi.
Semalam, Rafizi mengesahkan beliau akan menerajui Parti Bersama Malaysia selepas mengambil alih parti tersebut bersama bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nik Nazmi Nik Ahmad.
Langkah itu dibuat selepas kedua-dua pemimpin berkenaan mengumumkan mengosongkan kerusi masing-masing dan keluar daripada PKR susulan perbezaan pendirian terhadap hala tuju parti.
Rafizi berkata, parti Bersama akan tampil sebagai platform politik baharu yang memberi fokus kepada reformasi institusi, tadbir urus dan penyelesaian isu kos sara hidup rakyat.
Parti itu dijangka mula digerakkan secara rasmi dalam masa terdekat sebagai persiapan menghadapi landskap politik menjelang PRU-16. – MalaysiaGazette
















