KUALA LUMPUR – Seramai lima individu termasuk dua suspek maut dalam kejadian tembakan di sebuah kompleks Pusat Islam di California, Amerika Syarikat (AS) pada Isnin.
Menurut laporan AFP, dua suspek remaja masing-masing berusia 17 dan 19 tahun yang menyerang masjid itu ditemukan maut di dalam sebuah kereta dipercayai selepas menembak diri sendiri.
Rakaman televisyen dari helikopter menunjukkan pasukan bersenjata berkumpul di luar bangunan, dengan seorang individu tidak dikenal pasti terbaring dalam keadaan berlumuran darah.
Puluhan kereta peronda polis turut dilihat berada di sekitar kompleks Islam itu, yang menurut laman webnya merupakan masjid terbesar di daerah San Diego di selatan California.
Selepas tempoh perintah berkurung singkat susulan arahan pihak berkuasa supaya penduduk setempat kekal berada di dalam rumah, polis San Diego kemudiannya mengumumkan ancaman di pusat itu berjaya “dineutralkan”.
“Kami menerima panggilan mengenai penembak aktif di pusat Islam itu. Dalam tempoh empat minit, anggota polis tiba di lokasi dan menemukan tiga mangsa yang maut di bahagian hadapan kompleks,” kata Ketua Polis San Diego, Scott Wahl kepada pemberita.
“Kami segera melancarkan operasi terhadap penembak aktif ke dalam masjid dan sekolah bersebelahan,” katanya sambil menambah bahawa polis turut menerima panggilan mengenai tembakan lain berhampiran lokasi, apabila seorang pekerja landskap yang sedang bekerja ditembak namun terselamat.
Di luar pusat Islam itu, polis menemukan sebuah kenderaan di tengah jalan raya dengan kedua-dua penyerang maut di dalamnya.
“Pada ketika ini, suspek dipercayai meninggal dunia akibat tembakan yang dilakukan sendiri. Tiada anggota polis melepaskan tembakan,” kata Wahl.
Polis berkata, seorang pengawal keselamatan di pusat Islam itu merupakan antara tiga mangsa yang terbunuh, manakala identiti dua lagi mangsa belum dikenal pasti.
Sementara itu, imam masjid berkenaan, Taha Hassane berkata, semua kakitangan, guru dan kanak-kanak di masjid tersebut selamat.
“Kami tidak pernah mengalami tragedi seperti ini sebelum ini. Pada saat ini, apa yang saya boleh katakan ialah kami mengirimkan doa dan berdiri bersama semua keluarga dalam komuniti kami di sini,” katanya.
“Adalah amat keterlaluan untuk menjadikan rumah ibadat sebagai sasaran,” tambah imam itu.
Dalam pada itu, Presiden AS, Donald Trump menyifatkan kejadian tembakan itu sebagai “situasi yang mengerikan”.
“Saya telah menerima beberapa maklumat awal tetapi kami akan menelitinya dengan sangat serius,” katanya kepada pemberita.
Gabenor California, Gavin Newsom turut diberi taklimat mengenai serangan tersebut, menurut pejabat medianya.
“Kami berterima kasih kepada pasukan penyelamat pertama di lokasi yang sedang berusaha melindungi komuniti dan menggesa semua pihak mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan,” katanya menerusi satu hantaran di X. – MalaysiaGazette
















