Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Anugerah Sukan Negara 2025 di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil. Foto AIZAT ZAINAL, 19 MEI 2026.

KUALA LUMPUR – Kebajikan atlet akan terus menjadi keutamaan kerajaan dalam usaha memperkasa pembangunan sukan negara, termasuk memastikan kemudahan latihan lebih selesa dan kondusif bagi meningkatkan prestasi atlet.

Perkara itu ditegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila menekankan, aspek kebajikan merupakan faktor paling penting dalam melahirkan atlet berkualiti dan berdaya saing.

“Kebajikan atlet itu menjadi nombor satu. Kalau mahu dayakan sukan negara, kebajikan para atlet mesti dijaga. Bila lebih selesa dan lebih mudah, latihan juga akan jadi lebih baik,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra bersama Atlet Negara pada Majlis Anugerah Sukan Negara 2025 di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil. Foto AIZAT ZAINAL, 19 MEI 2026.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Sukan Negara 2025 di Majlis Sukan Negara (MSN) dekat Bukit Jalil, di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari dan Timbalannya, Mordi Bimol.

Menurut Perdana Menteri, kerajaan turut memberi perhatian terhadap bantuan tambahan yang diperlukan atlet bagi memastikan mereka dapat menjalani latihan dan persediaan secara optimum.

Katanya, walaupun terdapat pelbagai cabaran dan gerakan tertentu, kerajaan tetap komited untuk menjamin kebajikan atlet serta pembangunan arena sukan negara.

Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri memaklumkan, prestasi pertumbuhan ekonomi Malaysia tahun lalu dan suku pertama tahun ini mencatat pencapaian lebih baik daripada unjuran awal meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi global termasuk kenaikan harga minyak dunia.

Beliau menjelaskan, keadaan itu membuktikan ekonomi negara berada pada landasan membanggakan hasil usaha berterusan semua pihak dalam memastikan kestabilan serta pertumbuhan yang mampan.

“Alhamdulillah dalam keadaan begitu pun prestasi pertumbuhan ekonomi kita tahun lalu dan suku pertama tahun ini lebih tinggi daripada unjuran. Jadi, ini syukur Alhamdulillah, sama dengan semangat kita,” katanya.

Anwar berkata, unjuran ekonomi lazimnya dibuat secara berhati-hati dan kadangkala terdapat sedikit penambahan dalam jangkaan awal berbanding pencapaian sebenar.

Beliau bagaimanapun menegaskan, terdapat dua perkara yang membanggakan negara ketika ini iaitu kekuatan negara serta pertumbuhan ekonomi yang terus menunjukkan peningkatan positif.

Katanya, faktor kenaikan harga minyak dunia turut memberi kesan kepada keadaan ekonomi semasa apabila harga yang sebelum ini sekitar AS$70 kini meningkat kepada hampir AS$100 setong.

“Balik kepada ketahanan ekonomi negara, kita kena terus berusaha dan belajar bagaimana untuk mencapai prestasi yang lebih baik,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast