Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli berucap pada majlis pengumuman hala tuju politik baharu di PJ Performing Arts Centre, One Utama. Foto MUHAIMIN MARWAN, 17 Mei 2026. (Gambar fail),

KUALA LUMPUR – Bukan soal merajuk atau jawatan tetapi garis merah itu sudah dilanggar dengan teruk sekali,  menurut bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli.

Beliau mendedahkan punca sebenar mengapa tidak akan sesekali kembali kepada PKR dengan dinamika politik sedia ada dalam parti berkenaan.

Menerusi pendedahan eksklusif menerusi podcast Yang Berhenti Menteri, Rafizi menjelaskan, keputusan untuk tidak kembali kepada parti itu telah dibuat seawal April tahun lalu.

“Saya dapat ‘baca’ permainan politik dalaman PKR yang disifatkan sudah hilang keadilan asas. Segala-galanya bermula dua minggu selepas Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan untuk memberi laluan mudah kepada saya.

“Mesej sebenar Anwar ialah, tak mahu saya ada pengaruh dalam parti. Mahu saya jadi teknokrat dan tak ada pengaruh supaya tak ada peluang mempengaruhi keputusan pemilihan.

“Beliau nak saya duduk diam-diam. Terima jawatan timbalan presiden tanpa bertanding. Tapi dari cabang sampai MPP (Majlis Pimpinan Pusat), semua orang dia (Anwar),” katanya.

Jelas Rafizi lagi, parti itu dikatakan semakin rosak apabila Pemilihan parti yang dilihat ‘tidak kena’.

“Dari tak ada pemilihan, kemudian ada pemilihan, lepas tu kata semua boleh undi, tiba-tiba tukar kepada perwakilan sahaja yang boleh mengundi.

“Maksudnya apa? Duduk seorang diri dalam MPP. Kena maki, kena dengar, jadi rubber stamp. Depan cakap lain, belakang cakap lain, buat lain, umum lain,” katanya lagi.

Rafizi yang juga kini sudah mengosongkan kerusi ahli Parlimen Pandan berkata, pembabitannya dalam arena politik bukan demi mengejar pangkat, memenangi pilihan raya atau mahupun bergelar menteri sebaliknya didorong oleh tanggungjawab untuk membetulkan keadaan.

“PKR sampai ke tahap menipu anggota sendiri, bayar RM200 untuk anggota baharu, ada laporan polis dan macam-macam lagi.

“Sebab tu saya dah buat keputusan sejak April tahun lalu. Saya bagi notis dua bulan lebih awal sebenarnya. Saya dah bagitau pada staf saya untuk bersedia,” katanya lagi.

Jelasnya lagi, berbeza pandangan tidak menjadi masalah tetapi apabila parti sudah rosak hingga sanggup menipu anggota sendiri itu dilihat ada sesuatu yang tidak kena.

“Bila sesebuah parti dah hilang benda paling asas, keadilan, parti itu dah rosak.

“Maknanya mencuri boleh, menipu boleh, salah guna kuasa boleh. Dah tak perlu tanya betul atau salah,” katanya lagi.

Menepis dakwaan segelintir pihak yang memintanya bertahan dan menunggu pengunduran Anwar untuk membetulkan keadaan, Rafizi menyifatkan perkara itu sebagai mustahil memandangkan sistem sedia ada telah disusun rapi oleh individu-individu tertentu.

“Kepada yang kata ‘tunggu lepas Anwar, kita betulkan’, ingat Farhash (Wafa Salvador) dan (Datuk Seri R.) Ramanan tak susun semuanya? Sistem yang ditipu sekali boleh ditipu lagi. Dah tak ada ruang.

“Kecuali saya pergi cium tangan. Tapi bukan sebab itu saya dalam politik. Panggillah prinsip ke, merajuk ke, apa pun. Tapi garis merah itu dah dilanggar. Dan dilanggar dengan teruk sekali,” katanya.

Rafizi baru-baru ini menyertai Parti Bersama, keluar dari PKR dan mengosongkan kerusi Parlimen Pandan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast