KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) membantah keras tindakan Klinik Kesihatan Sri Rampai yang didakwa mengeluarkan buku temu janji kesihatan menggunakan bahasa Mandarin sepenuhnya tanpa terjemahan bahasa Melayu.
Pemangku Presidennya, Borhan Ahmad Zakaria berkata, apa yang berlaku disifatkan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan menjejaskan hak rakyat mendapatkan perkhidmatan awam secara adil.
Menurut beliau, penggunaan bahasa asing secara sepenuhnya dalam dokumen rasmi klinik kerajaan tidak wajar kerana bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara seperti termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.
“Semua urusan rasmi kerajaan termasuk dokumen dan rekod pesakit di fasiliti kesihatan awam yang dibiayai wang rakyat wajib menggunakan bahasa Melayu.
“Sejak bila Mandarin menjadi bahasa kebangsaan? Malaysia bukan China. Kita ada satu bahasa kebangsaan dan itu bahasa Melayu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mendakwa, tindakan mencetak buku temu janji hanya dalam bahasa Mandarin memberi gambaran seolah-olah pesakit Melayu dan Bumiputera menjadi warga kelas kedua di negara sendiri.
Katanya lagi, isu itu bukan bersifat perkauman, sebaliknya melibatkan hak rakyat untuk memahami maklumat kesihatan dan mendapatkan akses perkhidmatan awam secara saksama.
“Ramai warga emas dan pesakit dari luar bandar tidak membaca Mandarin. Mereka berhak memahami tarikh, masa dan arahan temu janji dalam bahasa yang mereka kuasai,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan, Perkasa menuntut pihak klinik menghentikan segera penggunaan buku temu janji yang hanya menggunakan bahasa Mandarin dan menggantikannya dengan versi dwibahasa menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa utama.
Malah, pertubuhan itu turut menuntut penjelasan bertulis daripada pihak klinik dalam tempoh tujuh hari berhubung perkara berkenaan.
Menurut Borhan, kegagalan pihak klinik mengambil tindakan akan menyebabkan isu tersebut dibawa ke peringkat Kementerian Kesihatan (KM) dan Parlimen untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette
















