Sesi bergambar bersama Presiden Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya, Muhammad Haziq Azfar Ishak pada temubual khas di Pejabat Malaysia Gazette, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 26 DISEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Seorang pemimpin muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengumumkan peletakan jawatan daripada semua jawatan parti serta keluar daripada parti itu berkuat kuasa serta-merta hari ini.

Muhammad Haziq Azfar Ishak berkata, beliau melepaskan jawatan sebagai Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia dan Ketua AMK Cabang Tanjong Malim kerana kecewa dengan hala tuju parti yang disifatkan semakin mempertahankan status quo.

Menurutnya, PKR kini dilihat menjadi sebuah parti ‘establishment’ yang terlalu banyak berkompromi sehingga bertentangan dengan prinsip asas perjuangan parti sebelum ini.

“Hasilnya, KEADILAN dan Pakatan Harapan terpaksa mengabaikan suara penyokong kerana hasil berdolak-dalik dan menangguhkan janji perubahan,” katanya menerusi satu kenyataan pada hari ini.

Beliau turut mendakwa keadaan itu memberi kesan terhadap kepercayaan rakyat khususnya golongan muda dan pengundi kali pertama terhadap institusi politik serta demokrasi negara.

Katanya, persepsi bahawa semua ahli politik dan parti adalah sama semakin menebal dalam kalangan masyarakat.

“Yang lebih membimbangkan adalah keculasan ini memberi kesan terhadap kepercayaan orang awam khususnya generasi muda pengundi kali pertama terhadap institusi parti politik dan demokrasi,” katanya.

Haziq Azfar berkata, pendekatan politik sedia ada juga perlu berubah dengan gerakan lebih radikal dan agresif bagi menangani cabaran generasi baharu yang berdepan masalah abad ke-21.

Beliau bagaimanapun merakamkan penghargaan kepada PKR atas pengalaman dan ruang perjuangan yang diberikan sepanjang penglibatannya dalam parti itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast