Pekerja kontraktor Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) melakukan kerja-kerja pembinaan landasan kereta api bagi memastikan projek dapat disiapkan mengikut jadual di laluan antara Stesen Bandar Tasik Selatan ke Stesen Kajang. Foto MUHAIMIN MARWAN, 20 Mei 2026.

KAJANG –  Projek Landasan Berkembar Elektrik Lembah Klang Fasa 2 (KVDT2) yang sebelum ini dijangka siap pada 2029 kini berpotensi diselesaikan lebih awal iaitu pada 2027 susulan perkembangan positif pelaksanaan projek berkenaan.

Ketua Pegawai Operasi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Afzar Zakariya berkata, projek berskala besar membabitkan kerja naik taraf landasan berkembar sepanjang 265 kilometer di laluan Abdullah Hukum – Pelabuhan Klang serta Salak Selatan – Seremban kini berjalan lancar.

Ketua Pegawai Operasi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Afzar Zakariya bercakap pada sidang media selepas meninjau kerja-kerja Projek Landasan Berkembar Lembah Klang Fasa 2 (KVDT2) di laluan antara Stesen Bandar Tasik Selatan dan Stesen Kajang. Foto MUHAIMIN MARWAN, 20 Mei 2026.

Menurut beliau, kelancaran projek itu dicapai selepas jadual perjalanan perkhidmatan KTM Komuter dan ETS diselaraskan dengan penggunaan satu landasan sahaja selain tiada operasi tren pada waktu malam bagi memberi laluan kepada kerja-kerja naik taraf.

“Landasan sepanjang 66 kilometer bermula dari Stesen KTM Komuter Bandar Tasik Selatan ke Seremban telah ditutup di sebelah kanan dan hanya landasan kiri digunakan dengan pengubahsuaian jadual perjalanan bagi memberi keutamaan kepada projek ini.

Jentera pembinaan digunakan bagi kerja-kerja menaik taraf dan penyambungan landasan kereta api di laluan antara Stesen Bandar Tasik Selatan dan Stesen Kajang ketika tinjauan lensa melibatkan projek Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB). Foto MUHAIMIN MARWAN, 20 Mei 2026.

“Manakala bermula jam 9.30 malam hingga 5.30 pagi tiada operasi tren bagi kedua-dua landasan dan dari jam 10 pagi hingga 4 petang, KTMB mengurangkan perkhidmatan untuk memberi laluan kepada kontraktor menjalankan kerja-kerja naik taraf,”.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Lawatan Tapak Bersama Media Meninjau Projek KVDT2 di Stesen Komuter Kajang, di sini hari ini.

Beliau berkata, fokus utama operasi tren ketika ini adalah memastikan kelancaran perkhidmatan kepada penumpang KTM Komuter yang berulang-alik ke tempat kerja.

Katanya, penjadualan waktu puncak ditetapkan kepada lima trip bagi sesi pagi dan petang dengan kekerapan operasi setiap 20 minit.

“Penyesuaian operasi yang dilaksanakan ketika ini merupakan langkah sementara bagi membolehkan kerja-kerja kritikal seperti naik taraf landasan, sistem isyarat, kabel komunikasi serta sistem elektrifikasi dijalankan dengan selamat dan teratur demi manfaat jangka panjang kepada pengguna rel negara,” ujarnya.

Pekerja kontraktor Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) melakukan kerja-kerja pembinaan landasan kereta api bagi memastikan projek dapat disiapkan mengikut jadual di laluan antara Stesen Bandar Tasik Selatan ke Stesen Kajang. Foto MUHAIMIN MARWAN, 20 Mei 2026.

Lawatan yang diterajui Afzar itu turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Dhaya Maju Infrastructure (Asia) Sdn Bhd (DMIA), Datuk Mohamed Razeek Hussain selaku wakil kontraktor projek KVDT2.

Terdahulu, pihak media dibawa menaiki troli khas melalui laluan operasi aktif bagi melihat situasi sebenar operasi tren ketika kerja-kerja KVDT2 dilaksanakan termasuk pengoperasian satu landasan, perselisihan tren serta pengurusan trafik rel melibatkan perkhidmatan KTM Komuter dan ETS.

Projek KVDT2 mula dilaksanakan pada 2023 dan bertujuan meningkatkan tahap keselamatan, kestabilan sistem serta kebolehpercayaan operasi perkhidmatan rel KTMB. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast