KUALA LUMPUR – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengesahkan sebuah pesawat F/A-18D Hornet mengalami masalah enjin semasa penerbangan pulang setelah Latihan Tembakan Udara ke Permukaan waktu malam di Kota Belud, Sabah, petang semalam.
TUDM memaklumkan, ketika kejadian, juruterbang telah melaksanakan prosedur kecemasan yang ditetapkan dan membuat keputusan untuk mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) sebagai langkah keselamatan.
Jelasnya, pesawat tersebut berjaya mendarat dengan selamat pada jam 7.47 petang.
“Susulan kejadian tersebut, TUDM telah mengaturgerakkan pasukan teknikal ke KKIA bagi melaksanakan proses pemeriksaan dan bantuan teknikal ke atas pesawat berkenaan.
“Pesawat dijangka akan diterbangkan kembali ke pangkalan setelah semua proses dan pengesahan teknikal selesai dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah kenyataan itu, TUDM memberi jaminan bahawa keselamatan operasi penerbangan sentiasa menjadi keutamaan dalam setiap pelaksanaan misi dan latihan. – MalaysiaGazette















