GEORGE TOWN – Polis mengklasifikasikan kes penemuan mayat seorang lelaki dalam longkang di Jalan Kedah di sini hari ini sebagai mati mengejut.
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake berkata, pihaknya menerima maklumat awam mengenai kejadian itu kira-kira 9.26 pagi sebelum sepasukan polis dan forensik bergegas ke lokasi.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati mangsa merupakan lelaki warga tempatan berusia 37 tahun dan beralamat di Kapar, Selangor.
“Si mati disyaki merupakan seorang gelandangan yang kelihatan menginap di kawasan berhampiran tempat kejadian.
“Siasatan lanjut oleh pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di lokasi serta pemeriksaan pada badan si mati tidak menemukan sebarang unsur jenayah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang untuk proses bedah siasat yang dijadualkan esok.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan satu laporan mati mengejut (SDR) dibuka bagi siasatan lanjut,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN:
Terdahulu, media melaporkan mayat lelaki terbabit ditemui dalam sebuah longkang berhampiran deretan rumah kedai lama di Jalan Kedah oleh pekerja pembersihan yang sedang menjalankan kerja pembersihan kawasan kira-kira 9 pagi. – MalaysiaGazette
















