GEORGE TOWN – Mayat seorang lelaki ditemui dalam sebuah longkang berhampiran deretan rumah kedai di Jalan Kedah di sini hari ini.
Kejadian itu disedari pekerja pembersihan kira-kira 9 pagi ketika menjalankan kerja pembersihan longkang berkenaan.
Seorang pekerja premis makanan di lokasi kejadian berkata, dia tidak menyedari sebarang kejadian mencurigakan pada sebelah malam sebelum dikejutkan dengan penemuan mayat pagi ini.
“Lelaki ini dianggarkan berusia 30-an dan berkulit gelap. Dia memang gelandangan dan sering tidur di kaki lima rumah kedai lama ini namun saya tidak pasti bagaimana dia terjatuh ke dalam longkang itu.
“Walaupun muka si mati dipercayai bengkak akibat terlalu lama dalam air, saya kenal dia melalui pakaian,” katanya ketika ditemui.
Difahamkan, pihak polis dan forensik yang menjalankan siasatan di lokasi tidak menemui sebarang unsur jenayah.
Mayat lelaki itu kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake mengesahkan kejadian.
“Perkembangan siasatan akan dimaklumkan kemudian,” katanya. – MalaysiaGazette
















