Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing

KUALA LUMPUR – Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing menegaskan imej Malaysia sebagai negara harmoni, saling menghormati dan terbuka kepada kepelbagaian budaya perlu terus dipertahankan bagi memastikan keyakinan pelancong tidak terjejas.

Beliau berkata, sebarang perkara yang boleh menjejaskan keyakinan pelancong terhadap negara akan memberi kesan langsung kepada ekonomi serta sumber pendapatan rakyat yang bergantung kepada sektor pelancongan.

“Kita perlu mempertahankan imej Malaysia sebagai negara yang harmoni, saling menghormati dan terbuka kepada kepelbagaian budaya.

“Jangan biarkan keyakinan pelancong terjejas kerana ia akan memberi impak kepada ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) MOTAC 2025 yang turut meraikan 257 penerima APC serta 58 pesara kementerian itu hari ini.

Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) MOTAC 2025.

Menurut King Sing, sektor pelancongan, seni dan budaya perlu terus bergerak secara proaktif, kreatif dan berani meneroka pendekatan baharu dalam mendepani cabaran ekonomi global yang semakin mencabar.

Katanya, industri berkenaan bukan sahaja penting kepada ekonomi negara, malah menjadi sumber rezeki kepada golongan B40, penggiat industri kecil dan sederhana serta komuniti tempatan.

“Setiap program dan inisiatif yang dilaksanakan perlu memberi manfaat sebenar kepada rakyat.

“Ia membuka peluang pendapatan, merancakkan ekonomi setempat dan memastikan sektor pelancongan negara terus mampan serta berdaya saing,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga MOTAC  atas komitmen serta dedikasi mereka dalam memartabatkan sektor pelancongan, seni, budaya dan warisan negara.

“Tahniah kepada semua penerima APC dan terima kasih kepada pesara yang telah mencurahkan bakti sepanjang berada dalam keluarga besar MOTAC.

“Pengiktirafan ini bukan sekadar anugerah, tetapi amanah untuk terus memberi yang terbaik kepada rakyat dan negara,” ujarnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast